Berita

Cedera Tangan Kiri Diserang Anak Sendiri

120views

KEPALA BATAS, 11 Mei — Seorang wanita menerima 10 jahitan pada tangan kiri akibat terkena pisau dipegang anak lelakinya yang mempunyai masalah mental dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Orkid Permai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa berusia 56 tahun bersama suaminya sedang menunaikan solat tarawih di ruang tamu kediaman mereka.

Bagaimanapun, pasangan itu dikejutkan dengan tindakan anak lelaki mereka berusia 29 tahun yang meluru dengan bersenjatakan pisau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek yang memegang dua bilah pisau di kedua-dua tangannya kemudian menghalakan senjata itu ke arah ibunya.

“Suami mangsa yang menyedari tindakan itu kemudian menolak anaknya sehingga terjatuh namun pisau telah terkena tangan kiri mangsa (isteri) yang turut cuba menghalang anaknya.

“Mangsa dibawa ke wad kecemasan Hospital Kepala Batas (HKB) oleh anak-anaknya yang lain untuk rawatan lanjut berikutan mengalami luka di tangan dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan.

“Melalui siasatan mendapati anak lelaki suami isteri itu mempunyai masalah gangguan mental sejak 2016 dan dalam proses perubatan sehingga kini.

“Suspek sudah lebih setahun hanya berkurung sahaja di dalam rumah sahaja tanpa bercakap dengan sesiapa,” katanya.

Noorzainy berkata, polis menahan suspek yang tidak bekerja dan masih bujang itu untuk siasatan lanjut.

“Dalam pada itu, polis juga merampas pisau yang digunakan suspek dalam insiden terbabit.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah. Suspek juga gagal memberi keterangan ekoran keadaannya dan dia dihantar ke Hospital Psikiatri, Jalan Perak untuk rawatan serta tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Source Link