info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Cegah Jangkitan COVID-19 Tanggungjawab Bersama, Kawal Kendiri Patuh SOP

49views

KUALA LUMPUR, 2 Jun — Dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin meruncing di negara ini, jalan terbaik adalah untuk rakyat bertindak bijak mendisiplinkan diri melalui sekatan pergerakan ‘lockdown’ kendiri serta mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara  (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh berkata tindakan itu adalah antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kebarangkalian dijangkiti COVID-19.

“Setiap individu mempunyai peranan untuk memastikan penurunan kes COVID-19, termasuk patuh kepada SOP seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal di samping mengelakkan dari berkumpul terutama di tempat awam.

“Elakkan pergerakan yang tidak perlu. Menghalang jangkitan adalah tanggungjawab kita bersama,” tegasnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, kadar sekatan pergerakan kendiri bergantung kepada situasi seseorang individu.

“Saya sedar ramai dalam kalangan masyarakat mengalami kekangan kewangan disebabkan oleh COVID-19, dan ada yang sehingga kekurangan keperluan asas kehidupan seperti makanan harian. Ini adalah penghalang kepada sekatan pergerakan sepenuhnya.

“Setiap individu perlu menilai kemampuan sendiri dan kurangkan pergerakan yang tidak perlu, contohnya keluar membeli-belah barangan bukan keperluan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Sama ada sekatan pergerakan kendiri adalah langkah terakhir yang bersesuaian untuk dibuat bagi menyedarkan masyarakat dalam mengawal penularan COVID-19 yang semakin mengganas sejak akhir-akhir ini, Dr Rosnida menjelaskan bahawa masyarakat perlu melihat kepada angka kes jangkitan yang bertambah setiap hari.

“Melihatkan pada kadar kematian dan kesan jangka masa panjang yang disebabkan oleh COVID-19, tidak ada sesiapapun yang mahu dijangkiti COVID-19. Hospital pula sudah mula melimpah dengan pesakit dan ada yang sudah mencapai kapasiti maksimum.

“Apabila hospital mencapai kapasiti maksimum, ramai pesakit COVID-19 tidak dapat diberi rawatan sepenuhnya kerana kekurangan petugas kesihatan serta peralatan untuk menyelamatkan nyawa,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, sebagai seorang doktor yang melihat sendiri kesan COVID-19 pada rakyat Malaysia secara “realtime”, sudah sampai masa untuk setiap individu melakukan apa sahaja yang mampu dilakukan untuk mengelakkan jangkitan dan penyebaran COVID-19 termasuk mengurangkan pergerakan yang tidak perlu.

PENTING PATUH SOP

Soal pentingnya rakyat mengamalkan pergerakan kendiri ini turut ditekankan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ruangan Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan menerusi RTM dan Bernama TV pada Ahad, 23 Mei lalu.

Rakyat, kata beliau, perlu terus patuh kepada SOP dan secara sukarela berada di rumah, untuk sama-sama membantu kerajaan agar dapat mengatasi krisis pandemik pada tempoh sukar ini.

Mutakhir kes harian baharu COVID-19 menunjukkan lonjakan besar secara konsistennya melebihi enam ribu sehari. Untuk rekod kes harian baharu tertinggi dilaporkan pada Sabtu, 29 Mei 2021 iaitu 9,020 kes dan sebelum itu, sebanyak 8,290 kes pada 28 Mei 2021. Semalam 1 Jun, sebanyak 7,105 kes harian baharu dilaporkan.

Sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak COVID-19, kerajaan sebelum itu bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  3.0 bermula 12 Mei 2021 dengan beberapa penguatkuasaan, antaranya termasuk tempoh operasi perniagaan yang dihadkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam selain had masa hanya dua jam sahaja untuk membeli barangan di kompleks beli belah.

Terkini, bermula 1 Jun (semalam) kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari.

Di bawah SPP itu, hanya 17 sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi termasuk Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; Penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar; Air; Tenaga; Keselamatan (security and safety), pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan; Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan dan Pengangkutan melalui darat, air atau udara.

SEDIKIT LENGANG, NAMUN MASIH ADA YANG BAWA KANAK-KANAK

Sebelum perlaksanaan SPP ini, penulis membuat tinjauan di dua buah pusat beli-belah sekitar Wangsa Maju dan Setiawangsa, Kuala Lumpur untuk melihat sendiri sama ada orang ramai sedar atau tidak akan pentingnya sekatan pergerakan kendiri.

Menerusi tinjauan pertama di sebuah pusat beli belah di Setiawangsa pada Isnin (24 Mei) bermula pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam iaitu sehari sebelum penguatkuasaan tempoh perkhidmatan operasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam, keadaan premis itu agak lengang. Malah ada restoran yang tidak lagi mengambil pesanan makanan walaupun baru pukul 8 malam dan operasi pada hari tersebut dibenarkan sehingga pukul 10 malam.

Pada Khamis 28 Mei, penulis meninjau pula pusat beli-belah di Wangsa Maju antara pukul 2 hingga 4 petang. Keadaan juga agak lengang, hanya ada sedikit sahaja pengunjung.

Ada juga individu yang tidak dapat memasuki premis tersebut kerana tidak mendaftar MySejahtera berikutan masalah pada telefon bimbit.

Pengunjung yang ingin memasuki premis berkenaan diwajibkan mendaftar di aplikasi MySejahtera sahaja dan tidak boleh lagi merekod kehadiran di dalam buku log seperti sebelum ini.

Penyelia sekuriti pusat beli-belah itu, Zamzuri Manab memberitahu Bernama, masih terdapat individu yang membawa kanak-kanak ke pusat beli belah biarpun ia adalah suatu perkara yang sangat tidak digalakkan.

“Masih ada yang datang bawa anak kecil, ada yang berdukung datang. Pada situasi negara masa kini dengan keadaan kita yang bergelut dengan pandemik COVID-19, adalah tidak sesuai untuk membawa kanak-kanak bersama. Kita memang  tidak galakkan mereka yang hendak membeli barangan keperluan di sini membawa kanak-kanak,” katanya.

Menurut beliau, pihak pasar raya itu hanya mengehadkan kepada 200 pengunjung sahaja masuk ke premis pada satu-satu masa dengan nombor angka giliran diberi kepada mereka. Selain itu, mereka hanya diberi had masa dua jam sahaja untuk mendapatkan barangan yang hendak dibeli.

Bagi remaja Mohamad Amirul Fahrin Fahzan, beliau bersetuju dengan saranan yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung betapa pentingnya mengamalkan sekatan pergerakan kendiri.

“Saya setuju bahawa tiba masanya kita sendiri yang bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri sendiri. Bukan masanya lagi untuk menuding jari dan menyalahkan pihak lain,” kata pelajar tingkatan empat itu.

Beliau juga semakin mengambil langkah lebih berhati-hati selepas mendapat tahu rakan sekolahnya ada yang positif COVID-19 sebelum ini.

Bagi peniaga tudung dan pakaian yang berasal dari Pakistan, Mohd Zubair Mohd Yusof, perniagaannya kini merosot sehingga 80 peratus dan mengakui ada hari yang tidak ada langsung pembeli.

“Mungkin  orang sudah takut untuk keluar rumah, mereka lebih berhati-hati… ada hari saya beginilah menunggu dan menunggu… kadang tiada pelanggan langsung,” katanya sambil mengharapkan agar wabak COVID-19 segera berakhir.

Oleh Balkish Awang

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

Source link