info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
BeritaSukan

Cheng Hoe terima baik teguran TMJ

64views

KUALA LUMPUR, 6 Jun  — Teguran serta pandangan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim diterima baik oleh ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe bagi menghadapi baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Beliau berkata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu adalah seorang yang mengambil berat tentang bola sepak Malaysia dan sudah tentu baginda ingin melihat pasukan kebangsaan atau pemain kebangsaan berada pada satu tahap terbaik.

“Nasihat-nasihat tersebut cukup memberi kita motivasi tinggi untuk melawan Vietnam nanti,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai hari ini.

Keputusan perlawanan di Stadium Zabeel, Dubai menyaksikan Malaysia tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat kritikan daripada penyokong bola sepak tempatan yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa pemain negara dengan sasaran utama adalah penyerang naturalisasi Guilherme De Paula.

Kekalahan skuad Harimau Malaya turut mendapat perhatian bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang terpanggil untuk memberi teguran dan pandangan peribadi berhubung beberapa perkara mengenai skuad kebangsaan.

Jumaat lepas, Tunku Ismail menerusi sesi soal jawab di akaun Instagram miliknya, antara lain turut berkenan mengulas mengenai persembahan keseluruhan skuad kebangsaan, selain prestasi hambar penyerang naturalisasi De Paula dan penilaian baginda terhadap aksi pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools yang baru menyertai pasukan negara.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata sekiranya Indonesia berjaya mencatat keputusan positif ke atas Vietnam dalam aksi kumpulan pada Selasa ini, ia akan memberi motivasi kepada pasukan bimbingannya menjelang pertembungan berdepan skuad kendalian Park Hang-seo itu.

“Kita tahu pasukan Indonesia mempunyai jurulatih baharu dan dibarisi ramai pemain muda berkualiti. Kita mengharapkan Indonesia dapat capai sesuatu dalam perlawanan esok. Yang penting kita kena fokus kepada pasukan kita,” jelasnya.

Malaysia akan berdepan Vietnam di Stadium Al Maktoum pada 11 Jun sebelum menamatkan saingan Kumpulan G berdepan Thailand pada 15 Jun di venue sama.

Source link