
China Akan Menyediakan Dana RMB 1 Trilion Untuk Menyokong Industri Cip Tempatan Terjejas Oleh Halangan Teknologi A.S
China mengalami tekanan sejak tiga tahun lalu selepas pelbagai sekatan teknologi dikenakan oleh Amerika Syarikat. Antara yang menerima impak paling besar ialah industri pengeluaran yang hanya boleh menghasilkan 24mm menggunakan teknologi lama selepas penggunaan paten dan penjualan mesin pencetak mula disekat. Menurut laporan Reuters, China kini sedang melakukan persediaan menyuntik dana lebih RMB 1 trilion (~RM635 bilion) untuk menyokong industri pengeluaran cip tempatan.
Dana ini akan dibelanjakan dalam masa lima tahun dalam bentuk subsidi, kredit cukai dan meningkatkan kajian penghasilan cip menggunakan teknologi tempatan. Ia diharap dapat memacu industri semikonduktor yang masih belum mampu berdiri sama tinggi dengan Amerika Syarikat serta Taiwan.
Suntikan dana pertama dipercayai akan dilakukan seawal Q1 2023 menurut sumber yang dipetik oleh Reuters. China dipaksa untuk mengambil langkah ini kerana Amerika Syarikat mengetatkan halangan akses kepada teknologi yang dipegang oleh mereka tahun ini.
Penjualan cip kecerdasan buatan untuk superkomputer diharamkan atas tuduhan ia mungkin digunakan bagi tujuan ketenteraan. Hari ini Jepun dan Belanda bersetuju untuk menghalang penjualan mesin pengeluaran cip kerana mereka merupakan rakan sekutu A.S.