info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

China Mengalu-alukan Siasatan Punca Penularan COVID-19

37views

GENEVA, 17 Dis — China mengalu-alukan kedatangan pasukan pakar penyelidik antarabangsa diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ke negara itu bagi menyiasat punca penularan virus COVID-19, awal bulan hadapan.

Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, misi antarabangsa itu dijangka ke China minggu pertama Januari bagi menyelidik dan menyiasat asal usul virus yang mengakibatkan pandemik COVID-19.

Pengarah Kecemasan Serantau WHO di Pasifik Barat, Babatunde Olowokure, dalam satu sidang media berkata, pertubuhan dunia itu sebelum ini berbincang dengan Beijing mengenai lokasi perjalanan pasukan itu di China.

“WHO masih terus berhubung dengan China dan akan berbincang mengenai pasukan itu dan lokasi mereka akan melawat,” kata Olowokure.

“Persetujuan ketika ini adalah China mengalu-alukan pasukan antarabangsa itu…Kami menjangkakannya pada awal Januari,” kata Olowokure.

Semalam, seorang anggota WHO dan diplomat memberitahu media bahawa pasukan antarabangsa diketuai WHO itu dijangka berlepas ke China pada minggu pertama bulan hadapan untuk menyiasat asal-usul virus yang mencetuskan pandemik COVID-19.

Amerika Syarikat (AS) yang menuduh China menyembunyikan situasi sebenar wabak itu, menggesa siasatan telus diketuai WHO dilaksanakan, selain mengkritik syarat dikenakan, yang membenarkan saintis China menjalankan fasa pertama kajian awal berkenaan.

Berhubung perbincangan lanjut dengan China mengenai perjalanan pasukan penyiasat itu, Olowokure berkata, adalah penting untuk WHO mengetahui bagaimana siasatan itu akan berjalan.

Pasukan yang terdiri daripada 12 hingga 15 pakar antarabangsa itu sedang bersiap sedia berlepas ke Wuhan untuk meneliti bukti, termasuk sampel manusia dan haiwan yang dikumpul penyelidik China, dan meneruskan kajian awal mereka.

Bulan lalu, Pakar Kanan Penyakit Haiwan WHO, Peter Ben Embarek, memberitahu misi itu juga termasuk menemubual pekerja pasar mengenai bagaimana mereka dijangkiti virus itu.

“Tiada sebarang petanda yang menunjukkan virus ini dicipta oleh manusia,” katanya. – AGENSI

Source Link