Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaChok Kong Yu luah hasrat bersara latih Yilamaran

Chok Kong Yu luah hasrat bersara latih Yilamaran

SEPANG, 7 Mei (Bernama) — Chok Kong Yu hari ini menyatakan hasrat untuk bersara sebagai jurulatih kepada V Yilamaran, atlet karate pekak negara yang berjaya menghadiahkan pingat perak pada Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil, Selasa lepas.

Kong Yu berkata hasrat itu bagaimanapun akan dilaksanakan selepas calon jurulatih bagi menggantikan dirinya ditemui oleh Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

“Atlet berusia 22 tahun itu memerlukan jurulatih yang lebih berpengalaman dan mampu memberi pendedahan lebih luas kepadanya supaya mampu mempelajari lebih banyak teknik pada masa akan datang.

Namun ini tidak bermakna saya akan terus meninggalkan Yilamaran…saya akan kekal pada bahagian teknikal dan persediaan manakala jurulatih baharu akan fokus kepada pertandingan dan melatih dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kong Yu berkata beliau ketika ini akan terus melatih Yilamaran selain telah menetapkan rakan sepelatih buat atlet terbabit di negeri kelahirannya di Johor bagi meningkatkan prestasinya.

Pada temasya Sukan Deaflympic ke-24, Yilamaran berjaya menghadiahkan pingat perak menerusi acara kumite lelaki bawah 84 kilogram selepas tumpas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi final.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular