Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaCo-opbank Pertama ambil pendekatan berhati-hati untuk kekal mampan

Co-opbank Pertama ambil pendekatan berhati-hati untuk kekal mampan

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Co-opbank Pertama Bhd (CBP) mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan kelas dan portfolio asetnya untuk terus kekal mampan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata walaupun lembaran imbangannya kekal kukuh dan stabil, bank koperasi itu kini tidak mengambil langkah agresif untuk mengelakkan sebarang kerugian pada tahun-tahun akan datang.

“Kami sedang mengambil pendekatan yang selamat dan berhati-hati meskipun kami melihat ekonomi semakin meningkat.

“Salah satu cara adalah dengan melihat kepada mempelbagaikan aset kami, yang bermaksud bukan hanya pada produk sedia ada seperti perniagaan pembiayaan peribadi, runcit dan Ar-Rahnu, tetapi juga melihat kepada sewa beli, pembiayaan mikro dan pembiayaan rumah,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri CBP di sini, hari ini.

Antara contoh bagi produk sedia ada, ialah pinjaman perumahan, CBP katanya pihaknya bekerjasama dengan hampir 10 peneraju perumahan telah untuk memudahkan proses akhir pembiayaan perumahan.

Sementara itu, Khairil Anuar berkata pertumbuhan purata terkumpul bank adalah antara 20 peratus dan 25 peratus setiap tahun manakala saiz asetnya telah meningkat kepada kira-kira RM6.8 bilion.

Mengenai kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus baru-baru, beliau berkata ia tidak dijangka memberi kesan negatif mendadak kepada para pelanggan individu dan runcitnya.

“Oleh kerana kami telah menetapkan harga produk kami berdasarkan penarafan risiko pelanggan dan kadar apungan, oleh itu, kami tidak melihat sebarang kesan kepada bank kerana kami telah mengambil kira keupayaan dan kemampuan pelanggan untuk membayar balik.

“Apabila ekonomi bertambah baik, begitu juga kesejahteraan pelanggan. Oleh itu dari segi komitmen mereka terhadap pembiayaan, sepatutnya lebih baik,” tambahnya.

Selain itu, katanya, simpanan deposit juga akan mencatatkan sedikit kenaikan bagi memberi pulangan atau hibah yang lebih kepada pendeposit pada kadar yang lebih kompetitif sejajar dengan kenaikan OPR yang ditetapkan oleh BNM.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular