
COP 15: Empat matlamat, 23 sasaran Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca 2020 diterima pakai
Artikel ini sebahagian daripada Fellowship CBD COP15 2022 anjuran Internews’ Earth Journalism Network.
MONTREAL (Kanada), 19 Dis (Bernama) — Rangka Kerja Biodiversiti Global Pasca 2020 yang menggariskan empat matlamat dan 23 sasaran diterima pakai pada Sidang Kemuncak Biodiversiti Konvensyen Pihak-pihak ke-15 (COP 15) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin di sini.
Sebanyak 188 daripada 196 pihak termasuk Amerika Syarikat dan Vatican sebagai bukan pihak, memuktamadkan dan meluluskan rangka kerja yang digariskan untuk dicapai menjelang 2030, dalam mesyuarat selama dua minggu yang berlangsung di Palais des Congrès Montreal mulai 7 Dis, sekali gus menamatkan rundingan selama empat tahun sejak 2018.
Sidang kemuncak itu menetapkan sasaran untuk tahun 2030, antara lain untuk memulihara dan mengurus secara berkesan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada daratan dan lautan dunia yang juga dikenali sebagai “Matlamat 30 x 30”.
Dana Kemudahan Biodiversiti Global (GBF) juga akan diwujudkan menerusi sasaran sumbangan sekurang-kurangnya AS$200 bilion setahun oleh negara maju bagi melaksanakan program berkaitan biodiversiti domestik dan antarabangsa di seluruh dunia.
Menurut kenyataan Sekretariat Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) hari ini, COP15 yang dipengerusikan China dan dihoskan Kanada, meluluskan beberapa siri perjanjian berkaitan pelaksanaannya.
“Ini termasuk perancangan, pemantauan, pelaporan dan semakan, mobilisasi sumber, membantu negara membangunkan kapasiti mereka untuk memenuhi kewajipan dan maklumat jujukan digital (DSI) mengenai sumber genetik.
“Malah, Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) diminta untuk menubuhkan Dana Amanah Khas untuk menyokong pelaksanaan dana GBF yang akan melengkapkan sokongan sedia ada serta meningkatkan pembiayaan untuk memastikan pelaksanaan GBF dengan aliran dana yang mencukupi, boleh dijangka dan tepat pada masanya,” menurut kenyataan itu.
Sekretariat CBD berkata DSI mengenai sumber genetik – topik yang dominan di COP15 – mempunyai banyak aplikasi komersial dan bukan komersial, termasuk pembangunan produk farmaseutikal, pembiakan tanaman yang lebih baik, taksonomi dan pemantauan spesies invasif.
“Delegasi COP15 bersetuju untuk menubuhkan dana pelbagai hala dalam GBF untuk perkongsian manfaat yang saksama antara penyedia dan pengguna DSI yang akan dimuktamadkan pada COP16 di Türkiye pada 2024,” menurut sekretariat CBD.
Perjanjian itu juga mewajibkan negara untuk memantau dan melaporkan setiap lima tahun atau kurang mengenai satu set besar “tajuk utama” dan petunjuk lain yang berkaitan dengan kemajuan terhadap matlamat dan sasaran GBF.
Petunjuk utama termasuk peratus tanah dan laut yang dipelihara dengan berkesan, bilangan syarikat yang mendedahkan kesan selain pergantungan mereka terhadap biodiversiti.
CBD akan menggabungkan maklumat negara yang dikemukakan menjelang akhir Februari 2026 dan akhir Jun 2029 ke dalam trend global dan laporan kemajuan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi GEF, Carlos Manuel Rodriguez berkata penggemblengan sumber merupakan tema utama di Montreal sejak dua minggu lepas bagi mendapatkan persetujuan serta memastikan pelaksanaannya.
“Sebagai Mekanisme Kewangan Konvensyen kritikal, GEF mengambil serius tanggungjawab kami untuk berfungsi di bawah kuasa dan bimbingan COP dan bertanggungjawab kepada COP.
“Saya mengiktiraf dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh negara dalam GEF untuk bekerjasama dengan anda bagi menyokong pelaksanaan awal perjanjian itu, melalui Dana GBF, melengkapkan sokongan berterusan yang telah disediakan oleh Dana Amanah GEF.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan negara dan pihak berkepentingan, termasuk komuniti tempatan, masyarakat sivil, Orang Asli, belia dan wanita, untuk menggunakan sumber GEF dengan bijak dan cekap,” kata Rodriguez dalam kenyataan sejurus selepas pengumuman itu.
Kira-kira 17,000 delegasi dari 196 negara, termasuk Malaysia, berkumpul di Montreal untuk mencapai persetujuan global dalam melindungi alam sekitar Bumi.
Matlamat keseluruhan CBD COP15 adalah untuk menyediakan perjanjian seperti Perjanjian Paris untuk alam semula jadi bagi menangani degradasi biodiversiti dan mempercepat dan mengarusperdanakan usaha untuk memulihara spesies terancam dan memulihkan ekosistem dan habitat.
Delegasi Malaysia diwakili 24 pegawai dari kementerian, jabatan atau agensi berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.
— BERNAMA