Berita

COVID-19: 2,433 Kes Baharu Hari Ini

95views

PUTRAJAYA, 10 Jan — Sebanyak 2,433 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini 135,992 manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan 27,332, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini, 730 kes atau 30 peratus daripada jumlah kes.

“Daripada jumlah ini, 510 kes (69.9 peratus) adalah daripada kluster sedia ada dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Sabah dengan 403 kes baharu (16.6 peratus) dan Johor iaitu 321 kes (13.2 peratus). Sebanyak 86 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster dalam lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

“Antaranya Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lima kluster baharu COVID-19 dikesan hari ini membabitkan saringan di tempat kerja, individu bergejala dan aktiviti rentas negeri.

Kluster pertama dikesan di daerah Sepang, Petaling, Klang dan Hulu Langat yang dinamakan sebagai Kluster Tapak Bina Cyber hasil saringan bersasar di tapak pembinaan serta sudah menjangkiti 67 individu.

Kluster kedua pula dinamakan Kluster Texmile membabitkan daerah Gombak hasil saringan bersasar di sebuah kilang serta sudah menjangkiti 19 individu.

“Kluster ketiga dikesan di daerah Sandakan, Sabah yang dikenali sebagai Kluster Sibuga hasil saringan individu bergejala serta sudah menjangkiti sembilan individu.

“Bagi kluster keempat ia dikenali sebagai Kluster Alor Durian membabitkan daerah Tumpat dan Kota Bharu di Kelantan hasil saringan rentas negeri serta sudah menjangkiti 17 individu,” katanya sambil menambah kluster kelima turut dikesan di Kelantan iaitu di daerah Pasir Puteh yang dikenali sebagai Kluster Wakaf Lanas hasil saringan rentas negeri serta sudah menjangkiti 11 individu.

Source Link