info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

COVID-19 buka peluang kepada ekonomi APEC

43views

KUALA LUMPUR, 2 Nov  — Pandemik COVID-19 yang telah memberikan kesan buruk terhadap ekonomi, sebenarnya turut membuka peluang baharu kepada anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk memanfaatkan naratif semasa dalam menjalankan perniagaan serta pelaburan ke atas trajektori yang diperbaharui.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil berkata pandemik itu telah mencabar semua pihak berkepentingan untuk berfikir dengan lebih mendalam mengenai peranan yang dimainkan oleh komuniti perniagaan dan pelaburan dalam masyarakat, alam sekitar serta pembentukan dasar pada masa hadapan yang perlu mengambil kira keperluan untuk model perniagaan yang bertanggungjawab dan inklusif.

”Malaysia berpendapat sudah ada peluang untuk APEC mengemukakan strategi Perniagaan serta Pelaburan Inklusif dan Bertanggungjawab (IRBI) yang lebih mantap di tengah-tengah rancangan selepas 2020 dan pasca pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau dalam ucapan perasmian di Dialog Awam-Swasta APEC mengenai Perniagaan serta Pelaburan Inklusif dan Bertanggungjawab di sini hari ini berkata sejak beberapa dekad lepas, banyak perniagaan termasuk institusi pelaburan telah mengambil langkah progresif dalam meneroka model perniagaan baharu yang merangkul prinsip IRBI.

“Malahan, terdapat peningkatan minat di kalangan perniagaan dan institusi pelaburan untuk menerima Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan menetapkan idea itu dalam DNA perniagaan mereka,” katanya.

SDG telah mewujudkan peluang pasaran bernilai US$12 trilion (US$1=RM4.15) dalam banyak sektor ekonomi, termasuk makanan dan pertanian, bandar, tenaga, kesihatan serta kesejahteraan, katanya yang memetik laporan Suruhanjaya Pembangunan Mampan dan Perniagaan 2017.

Dialog hari ini membincangkan pautan antara komitmen global dalam merealisasikan SDG dan minat yang semakin meningkat di kalangan perniagaan serta ekonomi APEC mengenai kepentingan perlindungan alam sekitar, nilai sosial yang baik dan tadbir urus korporat atau yang dikenali sebagai tonggak ESG.

”ESG, SDG atau faktor vernakular IRBI kita sendiri telah terbukti berperanan penting dalam meramalkan pulangan kewangan, oleh itu ianya tidak boleh diabaikan apabila mempertimbangkan keputusan pelaburan,” kata Bahria.

— BERNAMA

Source link