info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

COVID-19 : Hanya Dua Daerah Di Semenanjung Masih Berstatus Hijau

85views

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Daerah Hulu Terengganu, Terengganu dan Cameron Highlands, Pahang, adalah dua daerah di Semenanjung, masih ‘selamat’ apabila jangkitan pandemik COVID-19 dalam kalangan penduduknya apabila berada dalam kategori Zon Hijau.

Selain dua daerah di Semenanjung, 16 daerah di Sarawak turut masih berstatus hijau.

Daerah Klang di Selangor menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan penularan pandemik COVID-19 di negara ini, apabila setakat semalam, merekodkan 4,877 kes jangkitan.

Data status daerah dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tempoh 3 Januari sehingga semalam, menunjukkan semua daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka, dikategorikan sebagai Zon Merah, dengan jangkitan melebihi 41 kes.

Selangor yang mempunyai sembilan daerah, mencatat kumulatif 11,698 kes, manakala Pulau Pinang dengan lima daerah mencatat keseluruhan 2,303 kes dan Melaka dengan tiga daerah mencatat 496 kes.

Selain Klang, daerah lain di Selangor yang mencatat jumlah tinggi adalah Hulu Langat (2,239 kes), Petaling (1,498 kes), Gombak (1,076 kes), Sepang (777 kes), Kuala Langat (701 kes) dan Kuala Selangor (340 kes).

Dua lagi daerah iaitu Hulu Selangor dan Sabak Bernam masing-masing mencatat 146 kes dan 44 kes.

Sebanyak 2,303 kes COVID-19 dikesan di Pulau Pinang dengan daerah Barat Daya mencatat jumlah tertinggi dengan 919 kes, diikuti Timur Laut (698), Seberang Perai Tengah (250), Seberang Perai Selatan (246) dan Seberang Perai Utara (190).

Melaka pula mencatat keseluruhan 496 kes dengan 336 kes dilaporkan berlaku di daerah Melaka Tengah, 111 kes di Jasin dan 49 kes lagi di Alor Gajah.

Wilayah Persekutuan turut dikategorikan sebagai Zon Merah dengan 3,645 kes dicatatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya (252) dan Labuan (172).

Menerusi data sama, Johor menghampiri kategori negeri Zon Merah, apabila sembilan daripada 10 daerah di negeri itu kini berstatus zon merah, kecuali Tangkak masih kuning dengan 16 kes dicatatkan.

Jumlah jangkitan COVID-19 di Johor adalah kedua tertinggi di negara ini dengan 6,510 kes keseluruhan dan Johor Bahru mencatat kes jangkitan tertinggi dengan 2,112 kes diikuti Muar (1,895), Kulai (1,186), Kota Tinggi (347), Batu Pahat (317), Pontian (274) dan Kluang (235).

Untuk Mersing dan Segamat, dua daerah itu masih mencatat kes di bawah jumlah 100 iaitu masing-masing dengan 76 kes dan 52 kes.

Di Kelantan, daerah Jeli masih dikategorikan sebagai kuning dengan sembilan kes manakala Pasir Mas dikategorikan sebagai jingga dengan 33 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 906 kes COVID-19 dicatatkan di negeri itu.

Bagaimanapun, lapan lagi daerah di negeri itu dilabelkan sebagai merah dengan Kota Bharu mencatat kes tertinggi dengan 276 kes diikuti Bachok dengan 120 kes, manakala Tumpat dan Kelantan masing-masing dengan 105 kes.

Untuk tempoh daripada 3 Januari sehingga semalam juga, data KKM menunjukkan sebanyak 1,607 kes COVID-19 dicatatkan di Negeri Sembilan, 748 kes di Kedah, 756 kes di Perak, 547 kes di Pahang, 378 kes di Terengganu dan 26 kes di Perlis.

Untuk enam negeri itu, sebahagian besar daerah dilabelkan sebagai zon merah serta jingga dan kuning dan hanya dua daerah iaitu Hulu Terengganu, Terenggangu dan Cameron Highlands, Pahang masih dilabel sebagai Zon Hijau iaitu tiada kes COVID-19 dicatatkan.

Sementara itu, data sama menunjukkan sebanyak 5,698 kes COVID-19 dicatatkan di Sabah dan tiga daerah tertinggi kes itu adalah Kota Kinabalu dengan 1,033 kes diikuti Lahad Datu (576) dan Penampang (497).

Source Link