BeritaCOVID-19

COVID-19 Jauh Lebih Buruk Tahun Ini – WHO

166views

GENEVA, 15 Mei — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengeluarkan amaran bahawa tahun kedua penularan COVID-19 jauh lebih buruk ketika Jepun melanjutkan perintah darurat di tengah-tengah desakan supaya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibatalkan.

“Kini kita berada di tahun kedua penularan pandemik yang jauh lebih buruk berbanding tahun pertama,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Jepun mengenakan perintah berkurung di tiga wilayah, 10 minggu sebelum bermulanya temasya Sukan Olimpik ketika lebih 350,000 petisyen mendesak ia dibatalkan.

Pandemik COVID-19 mengorbankan sekurang-kurangnya 3,346,813 penduduk dunia sejak virus pertama kali muncul pada akhir 2019, menurut data rasmi AFP.

Sementara itu India mula memberikan vaksin Sputnik V Russia, vaksin negara luar pertama yang digunakan di negara itu berikutan lonjakan kes dan kematian.

Kumpulan pertama vaksin Sputnik – dilaporkan 150,000 dos – tiba pada 1 Mei dan penghantaran kedua dijangka dalam beberapa hari akan datang.

Beberapa pengeluar ubat terkemuka di India mempunyai perjanjian untuk pengeluaran tempatan Sputnik V dengan tujuan untuk menghasilkan lebih 850 juta dos setiap tahun.

Lebih 260,000 penduduk di India maut akibat COVID-19.

Di Eropah, Perdana Menteri Britain Boris Johnson memberi amaran bahawa kemunculan varian B1.617.2, antara faktor berlakunya lonjakan kes India.

“Varian baharu ini menimbulkan gangguan serius terhadap kemajuan kita,” kata Johnson, sambil menambah “kami akan melakukan apa sahaja untuk menjaga keselamatan rakyat.”

Kementerian Kesihatan Britain mengesan varian berkenaan di barat laut England dan London.

WHO turut mengingatkan bahawa walaupun program vaksinasi dilakukan, pemakaian pelitup muka perlu dilakukan terutama di kawasan penularan wabak.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan, menegaskan vaksinasi bukan jaminan kebal daripada jangkitan.

Hampir 60 peratus golongan dewasa di Amerika Syarikat (AS) menerima satu atau lebih dos vaksin, dengan kes di negara itu semakin menurun.

AS turut memulakan kempen vaksinasi kepada remaja berusia 12 hingga 15 tahun sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun WHO mendesak negara kaya supaya menghentikan pemberian vaksin kepada kanak-kanak, sebaliknya menyalurkan vaksin berkenaan kepada negara miskin.

“Saya faham kenapa ada negara yang mahu memberi vaksin kepada kanak-kanak dan remaja tetapi ketika ini saya mendesak mereka untuk mempertimbangkan semula dan mendermakan vaksin itu kepada COVAX,” kata Tedros.

– AFP

Source Link