Berita

COVID-19 : Kelompok Lebih Berusia Lebih Berisiko Untuk Dijangkiti Semula

135views

PARIS, 18 Mac — Bekas pesakit COVID-19 mempunyai sistem pertahanan badan daripada dijangkiti wabak sama untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Bagaimanapun, hasil penyelidikan mendapati kadar perlindungan daripada jangkitan semula menerusi pembentukan imuniti semakin menyusut bagi pesakit yang lebih berusia.

Penilaian terhadap kadar jangkitan semula di Denmark, tahun lalu menunjukkan lebih 50 peratus individu didapati positif COVID-19 ketika gelombang pertama pada Mac hingga Mei 2020 menghidap virus sama apabila gelombang kedua melanda, iaitu antara September hingga Disember.

Penyelidik turut mendapati, jangkitan pertama COVID-19 membabitkan individu berusia bawah 65 tahun memberikan perlindungan daripada jangkitan semula sebanyak 80 peratus.

Kadar perlindungan itu bagaimanapun merudum kepada sekadar 47 peratus bagi individu yang pernah dijangkiti COVID-19 dan berusia lebih tua.

Penyelidik di Institut Serum Staten di Denmark, Daniela Michlmayr, berkata pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk di sebalik penyusutan kadar jangkitan dalam tempoh enam bulan apabila positif COVID-19.

Saringan menggunakan kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) kepada penduduk di Denmark tanpa mengira sama ada mereka mempunyai gejala atau sebaliknya menjadi teras pendekatan kebangsaan dalam membendung penularan COVID-19.

Lebih dua pertiga daripada keseluruhan penduduk, iaitu sekitar empat juta orang melakukan saringan pada tahun lalu.

Kadar keputusan positif dan negatif dengan mengambil kira perbezaan usia, jantina dan masa ketika jangkitan digunakan bagi menghasilkan unjuran berhubung perlindungan daripada jangkitan semula.

Kadar jangkitan didapati melonjak lima kali ganda bagi individu yang disahkan negatif semasa peningkatan virus COVID-19 pada musim luruh dan positif menjelang gelombang kedua.

Daripada 9,000 individu berusia bawah 65 tahun didapati positif ketika gelombang pertama, hanya 55 orang atau 0.6 peratus disahkan dijangkiti semula ketika gelombang kedua.

Secara perbandingan, sebanyak 3.6 peratus individu dalam kelompok usia itu didapati positif pada gelombang kedua, tetapi negatif ketika gelombang pertama.

Penyelidik Institut Serum Statens, Steen Ethelberg, berkata kajian itu juga mengesahkan penelitian dikemukakan beberapa pihak sebelum ini risiko jangkitan semula COVID-19 dalam kalangan orang muda dan sihat sangat jarang berlaku.

“Tetapi orang yang lebih tua berdepan risiko untuk dijangkiti semula virus ini, justeru hasil kajian ini menerapkan kepentingan mengenai penggubalan dasar bagi melindungi kelompok lebih berusia ketika pandemik COVID-19,” katanya.

— AFP

Source Link