info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

COVID 19 : Lebih 100 Orang Dijangkiti Varian UK Di Rumah Persaraan Di Belgium

60views

BRUSSELS, 18 Jan — Lebih 100 orang telah dijangkiti varian COVID-19 United Kingdom (UK) di sebuah rumah persaraan di Belgium, kata pengarahnya semalam.

Tiga penduduk meninggal dunia selepas virus itu mula merebak di rumah De Groene Verte di Houthulst, barat laut Belgium, kata Jurgen Duyck.

Seramai 111 orang telah disahkan dijangkiti, termasuk 39 kakitangan.

Kluster itu mewakili dua pertiga daripada penghuni rumah.

Agensi berita Belga pada mulanya melaporkan bahawa lapan orang lagi dijangkiti di sebuah rumah untuk orang kurang upaya di kawasan yang sama, tetapi kemudian menjelaskan bahawa belum diketahui sama ada mereka mempunyai varian UK.

Belgium adalah antara satu daripada negara yang mencatatkan kematian akibat COVID-19 per kapita tertinggi di dunia, dengan rumah penjagaan mewakili lebih daripada separuh kematian keseluruhan akibat penyakit itu, menurut Institut Kesihatan Umum.

Datuk Bandar Joris Hindryckx menyatakan, wabak di Houthulst telah menghentikan “semua aktiviti sosial dan sukan” di bandar yang berjumlah kira-kira 10,000 orang itu.

Punca jangkitan tidak diketahui, tetapi Datuk Bandar menyatakan bahawa jangkitan itu mungkin “tidak langsung” kerana tidak ada yang diuji positif di rumah persaraan itu yang diketahui telah melakukan perjalanan ke Britain.

Varian British itu dipercayai lebih mudah berjangkit berbanding strain COVID-19 sebelumnya.

Datuk Bandar Hindryckx menyatakan, mereka yang dijangkiti mesti dikuarantin selama 10 hari dan bukannya tujuh hari seperti kebiasaannya.

Namun, seorang ahli epidemiologi mendesak “penutupan penuh” di Houthulst dan meminta supaya semua penduduk diuji.

Menulis dalam harian Le Soir, Yves Coppieters berkata: “Kami mempunyai asas gelombang jangkitan ketiga.”

Beliau juga berkata kepada saluran TV Belgium, La Une bahawa “jika sudah ada kluster sejumlah ini, pasti ada yang lain”.

Tanpa ujian menyeluruh, “kita tidak akan berjaya melawan varian yang jauh lebih menular,” beliau memberi amaran.

Jumaat lalu, Yves Van Laethem, jurucakap pihak berkuasa kesihatan Belgium menyatakan telah ada beberapa puluh kes COVID-10 British dan Afrika Selatan di negara itu, sambil menambahkan bahawa “strain lain mungkin muncul”.

Beliau berkata, vaksin Pfizer, yang paling banyak digunakan di Belgium, berkesan terhadap dua jenis varian.

Penduduk rumah persaraan Houthulst dijadual untuk diberi vaksin COVID-19 minggu ini, tetapi program itu ditangguhkan kerana jumlah pesakit COVID-19 yang ramai, kata Hindryckx.

Orang tua adalah sasaran utama dalam kempen vaksinasi, yang menurut angka rasmi telah mencapai 17.26 peratus penduduk dan staf rumah persaraan pada 13 Januari lalu, dengan dos pertama vaksin, yang akan diikuti dengan dos kedua.

Pihak berkuasa Belgium kelmarin berkata, kelewatan dalam pemberian dos vaksin Pfizer-BioNTech tidak akan mempengaruhi vaksinasi segmen penduduk itu.

Negara itu mencatatkan 16.6 peratus lebihan kematian tahun lalu yang disebabkan terutamanya oleh COVID-19.

Sejak bermulanya pandemik itu, Belgium mencatat 677,209 kes dan 20,396 kematian. – AFP

Source Link