info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

COVID-19: Sabah Masih Penyumbang Besar Kes Baharu Di Malaysia

93views

KUALA LUMPUR (Bernama) — Sepanjang minggu rangkuman ini, Sabah terus menjadi penyumbang besar kepada jumlah harian kes positif COVID-19 di Malaysia yang kini sudah melepasi angka 36 ribu, setelah kira-kira 10 bulan negara dilanda pandemik koronavirus ini.

Jumlah kes harian berlegar antara 600 hingga melebihi 1,000 kes sepanjang minggu rangkuman ini.

Selain semalam, Khamis 5 November yang mencatat jumlah kes baharu sebanyak 1,009, Rabu 4 November mencatat 1,032  kes, sementara Selasa 3 November, sebanyak 1,054 kes.

Untuk ketiga-tiga hari yang merekod lebih seribu kes ini, Sabah adalah penyumbang kes baharu COVID-19 yang terbanyak.

Semalam, Sabah menyumbang 564 kes (55.9 peratus daripada keseluruhan kes pada hari tersebut); Rabu 4 November, sebanyak 646 kes (62.6 peratus) dan Selasa 3 November, 678 kes (64.3 peratus).

Dengan 1,009 kes yang dilaporkan semalam, Khamis 5 November (sembilan daripadanya kes import), jumlah kes baharu COVID-19 sehingga pukul 12:00 tengah hari adalah sebanyak 36,434. Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19, sebanyak 10,503 kes.

Untuk rekod, catatan kes harian baharu sepanjang minggu tersebut adalah 1,009 (5 Nov),  1,032 (4 Nov), 1,054 (3 Nov), 834 (2 Nov), 957 (1 Nov) dan 659 (31 Okt) .

Ketika kes harian baharu mencatat peningkatan, jumlah kes pesakit COVID-19 yang dilaporkan pulih sepanjang minggu rangkuman juga semakin membanggakan, dan ada yang mengatasi jumlah kes baharu.

Paling ketara adalah pada hari Sabtu 31 Oktober iaitu 1,000 kes.

Pada semalam 5 Nov, seramai 839 orang lagi pesakit COVID-19 pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sudah melebih 25 ribu iaitu 25,654 orang, iaitu 70.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes sembuh mengikut negeri, iaitu Sabah (473), Selangor (241), Negeri Sembilan (53), Pulau Pinang (28), Wilayah Persekutuan Labuan (15), Perak (8), Johor (8), Kedah (6), Sarawak (4), Melaka (2) dan Terengganu (1).

Untuk kes pulih pada hari yang lain adalah 839 (5 Nov), 820 (4 Nov), 875 (3 Nov), 900 (2 Nov) dan 972 (1 Nov).

KES KEMATIAN DAN KES-KES LAIN

Sepanjang minggu rangkuman, ada dua hari tiada kematian baharu dilaporkan iaitu pada Sabtu, 31 Oktober dan Ahad, 1 November. Bagaimanapun, Selasa, 3 November melihat sejumlah 12 kes kematian dan kesemuanya berlaku di Sabah.

Semalam, 5 November, enam (6) kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kes sebanyak 277 iaitu 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Lima (5) daripada kes tersebut dilaporkan di Sabah dan satu (1) kes di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, adalah 6 kes (5 Nov), 8 kes (4 Nov), 12 kes (3 Nov), 2 kes (2 Nov), sifar kes (1 Nov) dan sifar kes (31 Okt) .

Untuk kes kematian 4 November (7 kes di Sabah dan 1 di Perak); 3 November (kesemua 12 kes di Sabah); sementara 2 November (kesemua kes di Sabah).

Jumlah pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi semalam (5 November) adalah seramai 78 orang, dan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, daripada 1,000 kes penularan di dalam negara, empat (4) kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 483 kes.

NILAI R-NAUGHT

Pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia pada Rabu 4 November, Dr Noor Hisham sekali lagi menekankan pentingnya R-Naught (ro) diturunkan kurang daripada 0.5 untuk melandaikan lengkungan penularan COVID-19 di negara ini.

Ro pada awal Gelombang Ketiga (22 September) adalah 2.2 dan berjaya diturunkan kepada 1.5 kira-kira dua minggu kemudian dan semalam, 1.0.

Penurunan Ro itu adalah hasil positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Dr Noor Hisham, pihak beliau mensasarkan Ro turun kepada kurang 0.5 dan dijangka dapat dilakukan dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini.

Bagaimanapun, kata beliau, ia memerlukan kerjasama semua rakyat Malaysia dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah digariskan termasuk tidak keluar rumah kecuali jika diperlukan dan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan sering mencuci tangan.

Penurunan Ro itu, kata beliau, adalah impak positif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

KLUSTER DAN STATUS TERKINI KES COVID-19

Secara keseluruhannya sehingga 5 November, terdapat 267 kluster dilaporkan dan 119 daripadanya sudah ditamatkan. Daripada 148 kluster yang aktif, cuma 37 kluster mempunyai pertambahan kes.

Daripada lima (5) kluster baharu yang diumumkan hari ini,  dua (2) dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Sutera (Kota Kinabalu – 15 kes) dan Kluster Ria-30 (Tuaran – 11 kes ); satu (1) di daerah Petaling, Selangor (Kluster Tamar – 10 kes); satu (1) di daerah Timur Laut Pulau Pinang (Kluster Intan – 9 kes ) dan satu (1), di daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Kluster Danau – 8 kes).

Menurut perincian kes penularan COVID-19 dalam negara, Sabah mencatat 564 kes termasuk 254 kes daripada saringan kontak rapat.

Selangor mempunyai 177 kes termasuk tiga (3) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Wilayah Persekutuan Labuan, 92 kes; Negeri Sembilan, 90 kes; Pulau Pinang, 36 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 14 kes; Kedah, tujuh kes; Sarawak, enam kes; Perak, enam kes; Melaka, lima kes; Johor, dua kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, satu kes.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Ismail memberitahu sidang media pada Rabu, Malaysia masih menutup sempadannya untuk warga asing, termasuk mereka yang bekerja di negara ini dan pada masa ini berada di negara masing-masing.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia masih tidak membenarkan warga asing masuk ke negara ini kecuali mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia.

Larangan ini termasuk untuk pekerja dari Bangladesh yang mempunyai pas kerja jangka panjang di negara ini. Berkuatkuasa 7 September, Malaysia mengenakan sekatan melarang rakyat dari dnegara yang mencatatkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke negara ini termasuk Bangladesh.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan lebih daripada 25 ribu orang yang mempunyai pas kerja di Malaysia, meminta kerajaan mereka supaya membantu untuk mereka kembali ke negara ini.

Sementara itu, seramai 61,331 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Seramai 9,886 individu sedang menjalani kuarantin wajib selama dua minggua di 67 Hotel dan 19 premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan

STATISTIK GLOBAL COVID-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat ini melepasi 49 juta dan negara Belarus menjadi negara ke-51 yang mempunyai kes melebihi 100,000 kes.

Setakat rangkuman mingguan ini, kes COVID-19 global sebanyak 49,018,297 (rangkuman minggu lalu 45,429,027) dengan 1,239,410 kematian (minggu lalu 1,187,582 kematian) . Jumlah pesakit sembuh, 34,980,752 (minggu lalu 33,035,620 orang).  

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda pandemik COVID-19 dengan 9,919,522 kes (minggu lalu 9,214,994 kes). Angka kematian 240,953 (minggu lalu 234,201). Kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 8,411,034 kes (minggu lalu 8,088,851 kes) dengan 125,029 kematian (minggu lalu 121,131 kematian).       

Ini diikuti Brazil, dengan 5,614,258 kes (minggu lalu 5,496,402 kes) dan 161,779 kematian (minggu lalu 159,033 kematian).    

Rusia merekod 1,712,858 kes (minggu lalu 1,599,976 kes) dan 29,509 kematian (minggu lalu 27,656 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 47 buah lagi negara  (minggu lalu 44) mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Negara-negara dalam senarai tersebut adalah seperti berikut:-

Perancis 1,601,367 kes (9,037 kematian), Sepanyol 1,365,895 kes (38,486), Argentina 1,217,028 kes (32,766 kematian), United Kingdom 1,123,197 kes (48,120), Colombia 1,117,977 kes (32,209 kematian), Mexico 949,197 kes (93,772 kematian), Peru 914,722 kes (34,730 kematian), Itali 824,879 kes (40,192 kematian), Afrika Selatan 732,414 kes (19,677 kematian), Iran 654,936 kes (36,985 kematian), Jerman619,116 kes (11,190 kematian), Chile 516,582 kes (14,404 kematian), Iraq 489,571 kes (11,175 kematian), Belgium 468,213 kes (12,331 kematian), Poland 466,679 kes (6,842 kematian), Ukraine 430,467 kes (7,924 kematian), Indonesia 425,796 kes (14,348 kematian), dan Bangladesh 416,006 kes (6,021 kematian).

Negara-negara lain adalah, Czechia 391,945 kes (4,330 kematian), Belanda 390,488 kes (7,769 kematian), Filipina 389,725 kes (7,409 kematian), Turki 386,820 kes (10,639 kematian), Arab Saudi 349,386 kes (5,489 kematian), Pakistan 340,251 kes (6,923 kematian), Israel 317,863 kes (2,639 kematian), Romania 276,802 kes (7,540 kematian), Kanada 251,338 kes (10,381 kematian), Maghribi 240,951 kes (4,059 kematian) dan Switzerland 202,504 kes (2,628 kematian).

Negara yang turut tersenarai adalah Nepal 185,974 kes (1,052 kematian), Equador 171,783 kes (12,730 kematian), Portugal 161,350 kes (2,740 kematian), Bolivia 142,062 kes (8,768 kematian), Sweden 141,764 kes (6,002 kematian), Emiriah Arab Bersatu 138,599 kes (508 kematian), Panama 136,567 kes (2,756 kematian), Qatar 133,619 kes (232 kematian), Austria 132,515 kes (1,268 kematian), Kuwait 129,638 kes (799 kematian), Republik Dominica 128,824 kes (2,260 kematian), Oman 117,167 kes (1,286 kematian), Costa Rica 114,367 kes (1,444 kematian), Kazakhstan 114,235 kes (1,857 kematian), Guatemala 109,849 kes (3,766 kematian), Mesir 108,530 kes (6,329 kematian), Jepun 103,838 kes (1,794 kematian) dan Belarus 103,295 kes (998 kematian).

Sementara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-59 dengan 86,151 kes (minggu lalu 85,940 kes) . Angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 48 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes COVID-19.

Indonesia merekod 425,796 kes (minggu lalu 406,945 kes) dengan 14,348 kematian berbanding minggu lalu 13,782 kematian. Filipina mencatat 389,725 kes (minggu lalu 378,933 kes) dengan 7,409 kematian  (minggu lalu 7,185 kematian).

Singapura melaporkan 58,043 kes (minggu lalu 58,003 kes) dengan angka kematian kekal  28. Myanmar mencatat 57,935 kes (minggu lalu 50,403 kes) dan 1,352 kematian (minggu lalu 1,199 kematian).

Jumlah kes positif COVID-19 di Thailand pula 3,810 (minggu lalu 3,775 kes ) dan angka kematian kekal 59.

Vietnam mencatat 1,207 kes (minggu lalu 1,177 kes) dan angka kematian kekal 35. Kes COVID-19 di Kampuchea minggu ini bertambah satu kes kepada 292 (minggu lalu 291 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara Laos, 24 kes dan sifar kematian.

———————————————————————————————

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.

— Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

— Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

— Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

— BERNAMA

 

Source link