Berita

COVID-19 : Selangor Bakal Wujudkan Pusat Kuarantin Komuniti

129views

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bercadang mewujudkan pusat kuarantin di peringkat komuniti sebagai antara usaha menangani penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata inisiatif itu dilakukan kerana Selangor mempunyai banyak kawasan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak sesuai untuk penghuninya menjalani kuarantin kendiri sekiranya positif virus itu.

“Kita sedar Selangor mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan banyak pula kawasan miskin bandar seperti PPR yang hanya mempunyai tiga bilik, malah dua bilik pun ada. Jadi, tak mungkin mereka dapat melakukan kuarantin kendiri.

“Kalau mempunyai rumah besar dengan enam hingga tujuh bilik, itu sesuai untuk kuarantin kendiri tetapi bagi PPR, ia tidak sesuai langsung. Jadi, ini adalah langkah proaktif yang dilakukan kerajaan negeri bagi menangani wabak ini dan ia mungkin dilaksanakan dalam seminggu dua lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara COVID-19 dan Kesiapsiagaan Negeri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Rancangan itu dikendalikan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan menerusi laman sosial Facebook beliau.

Bagi melaksanakan inisiatif itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menggerakkan kakitangannya dengan kerjasama pihak hospital dan klinik swasta.

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan bilangan kes COVID-19 di Selangor dapat dikurangkan termasuk menyediakan 50,000 ujian saringan percuma untuk penduduk selain mensyaratkan kilang supaya melakukan ujian itu ke atas pekerja mereka.

“Kalau kilang-kilang ini gagal dan tak mahu terbabit, kita akan minta Kementerian Kesihatan (KKM) ambil tindakan sebab kita tidak mahu kilang-kilang ini menjadi tempat perebakan virus berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow mencadangkan kerajaan pusat dan KKM membenarkan sektor perkilangan melakukan ujian saringan secara berkelompok untuk mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh majikan.

“Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan supaya ujian berkelompok dilakukan supaya dapat menjimatkan kos ujian PCR sehingga RM70. Cadangan ini dikemukakan kepada KKM namun kita masih menunggu maklum balas,” katanya.

– BERNAMA

Source Link