Berita

COVID-19 : Varian Nigeria Dikesan Di Malaysia

170views

KUALA LUMPUR, 5 Mac — Kementerian Kesihatan (KKM) menemui dua kes pertama individu yang dijangkiti varian Nigeria SARS-CoV-2 yang turut dikenali sebagai B1.525 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kedua-dua kes dikenal pasti di bawa dua warga asing yang tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau menjelaskan, individu berkenaan didapati positif COVID-19 melalui ujian calitan RT-PCR.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) selanjutnya melakukan penjujukan genom penuh kerana mengambil kira sejarah perjalanan mereka.

“Analisis lebih lanjut menunjukkan adanya semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian itu.

“Ini termasuk mutasi ‘spike protein’ E484K, Q677H, F888L dan rangkaian ‘protein deletions’ serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7.

“Mutasi ‘spike protein’ E484K juga mendapat perhatian kerana ia dilaporkan dapat menghindari sistem imun,” katanya di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan varian dikenali sebagai B1.525 pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) pada Disember lalu.

Beliau berkata, varian sama juga pertama kali dikesan di Nigeria pada tempoh sama.

“Sejak itu, sebanyak 360 urutan varian ini boleh dijumpai di GISAID, dengan laporan tertinggi dari Denmark (n=121), diikuti oleh UK (n=73) dan Nigeria (n=56).

“Varian Nigeria juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tidak balas imun,” katanya.

GISAID adalah pengkalan data genom virus COVID-19.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria B1.525.

Katanya, masyarakat akan dimaklumkan mengenai perkara itu dari semasa ke semasa.

“Walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, tindakan kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompok masih belum tercapai.

“Orang ramai dinasihati sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa,” katanya.

Source Link