BeritaSukan

COVID: Atlet negara sambut Syawal di kem latihan

110views

KUALA LUMPUR, 9 Mei  —  Atlet-atlet negara yang dalam persiapan untuk bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Hanoi akan menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam kem latihan dan tidak dibenarkan keluar, kata Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin.

“Perancangan kita memang akan ada sambutan secara sederhana di dalam kem melibatkan atlet dan jurulatih yang tinggal dalam kem. Tetapi bergantung kepada situasi COVID-19 nanti,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Atlet-atlet kembali menyertai latihan secara kuarantin di kemudahan MSN di Bukit Jalil dan beberapa lagi tempat termasuk Akademi Badminton Malaysia (ABM)  sejak beberapa hari lepas  setelah kerajaan mengumumkan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jefri berkata MSN memilih melaksanakan pendekatan latihan dalam kuarantin selepas mengambil kira PKP dan lonjakan kes harian COVID-19 baru-baru ini di dalam negara yang merupakan risiko kepada keselamatan dan kesihatan atlet.

“Sudah semestinya pihak MSN bimbang akan ketidaktentuan latihan dan pertandingan semasa COVID-19 kerana ini akan menjejaskan prestasi atlet. Sebab itu kem latihan secara kuarantin ini terpaksa dilakukan. Diharap dengan cara ini latihan dapat diteruskan sebagai persiapan menghadapi temasya sukan,” katanya.  .

Jefri berkata  semua atlet dan jurulatih yang berada di bawah program MSN telah diberi nasihat untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata pihak MSN juga melaksanakan saringan ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen melibatkan semua atlet dan jurulatih pada tiga minggu lepas dan akan melaksanakan ujian yang sama minggu depan.

Media melaporkan 11 atlet dan jurulatih sepak takraw disahkan positif jangkitan COVID-19 selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

Sebelum itu 15 pemain dijangkiti virus ini di ABM sejak 17 April sementara seorang atlet remaja dan jurulatihnya didapati positif dalam kem latihan boling baru-baru ini.

Sementara itu, Jefri berkata skuad Muay Thai dijangka berlepas ke Thailand minggu depan untuk latihan dan pertandingan.

— BERNAMA

Source link