Berita

COVID: Kumulatif Kes Sembuh Kini Melebihi 580,000

94views

KUALA LUMPUR, 13 Jun  — Jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 kini mencecah  580,276 kes selepas 8,163 kes sembuh direkodkan dalam tempoh 24 jam di negara ini.

Pada 11 Jun dan semalam, Malaysia mencatatkan angka kes sembuh tertinggi dua hari berturut-turut sejak pandemik itu melanda negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 64 kematian dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat pandemik itu meningkat kepada 3,908 kes.

“Kes aktif pula kini 73,324 kes dan daripada jumlah itu sejumlah 917 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 452 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Jumlah kes baharu (5,304) merangkumi 5,299 kes penularan tempatan melibatkan  4,146  warganegara  dan 1,153 warga asing, manakala lima kes import membabitkan dua warganegara dan tiga bukan warganegara,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 15 kluster baharu dikesan hari ini dengan 11 daripadanya membabitkan penularan di tempat kerja, tiga kluster melibatkan komuniti dan satu kluster pendidikan tinggi.

Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Industri Jalan Sijangkang Utama, Industri Sungai Chandong Sembilan dan Industri Jalan Anggerik Mokara (Selangor), PLO Perindustrian 65, Tembikar Jalan Johor dan Kampung Choh (Johor) serta Jalan Agaseh dan Lorong Satu A di Sabah.

Kluster tempat kerja lain adalah Desa Tun Razak 2 (Kuala Lumpur), Industri Jalan Usaha Merlimau (Melaka) dan Industri Jalan Sepuluh di Kelantan.

Selain itu, kluster komuniti dikesan di Kampung Sebandi Hilir dan Kampung Tabuan Haji Drahman  (Sarawak) serta Kebayau (Sabah) manakala kluster pendidikan tinggi iaitu Dah Sintok (Kedah).

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan 2,477 kluster dengan 766 kluster aktif manakala jumlah keseluruhan kluster telah tamat ialah 1,711.

— BERNAMA

Source link