info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
BeritaCOVID-19

COVID: Masih ramai datang untuk ujian saringan di kaunter baharu di Labuan

62views

LABUAN, 10 Jun  — Sejumlah ratusan orang didapati menjalani ujian COVID-19 kit RTK-Antigen dan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) setelah Kaunter Saringan Kontak Rapat (ANNEX 14) mula beroperasi di Kompleks Sukan Labuan hari ini.

Sebelum ini, kaunter berkenaan beroperasi di perkarangan Klinik Kesihatan Membedai berhampiran pusat bandar tetapi telah dipindahkan ke kompleks sukan di pinggir bandar untuk mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan awam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, pemindahan pusat itu bertepatan berikutan saringan secara besar-besaran dijalankan ke atas kontak rapat pesakit COVID-19 dari segenap pelusuk pulau berkenaan.

“Kami membuat keputusan untuk berpindah kerana peningkatan jumlah orang yang menjalani ujian. Kami ingin mengelakkan orang ramai daripada berkumpul beramai-ramai di satu kawasan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kompleks sukan berkenaan yang pertama kali digunakan untuk memotong gelang tangan bagi pelepasan (Annex 17) pada 5 Jun, akan beroperasi sebagai kaunter saringan mulai 8 pagi hingga 4 petang.

Dr Ismuni berkata kapasiti kaunter saringan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan ribuan petugas dan kru dari sektor minyak dan gas dan perkapalan.

“Sejumlah kru perkapalan sedang menjalani kuarantin di hotel-hotel di pusat bandar dan kami begitu fokus untuk mengawal penularan wabak kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau juga berkata kadar jangkitan COVID-19 di Labuan menunjukkan trend yang menurun dengan mencatatkan 106 kes hari ini berbanding 200 kes semalam, menjadikan jumlah 5,458 kes.

Labuan, sebuah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa, masih mempunyai empat kluster aktif iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau serta merekodkan 49 kematian.

Kluster Layangan, yang dicetuskan oleh varian yang membimbangkan Delta, tidak mencatat kes baharu dalam tempoh dua minggu lepas dan kekal 64 kes.

— BERNAMA

Source link