info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
BeritaCOVID-19

COVID: Sabah rekod dua kluster baharu hari ini

57views

KOTA KINABALU, 9 Jun  — Sabah merekodkan dua lagi kluster baharu hari ini dikenali sebagai Kluster Kuala Penyu di Beaufort dan Kluster Jalan Wisma di sini yang melibatkan tempat kerja, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata Kluster Kuala Penyu mencatat 24 kes hari ini yang dicetuskan daripada jangkitan oleh kes indeks seorang pegawai lelaki berusia 36 tahun di pejabat sebuah badan amanah di daerah itu, yang dikesan positif pada 24 Mei lepas.

“Saringan kontak kemudian mendapati 11 pekerja positif COVID-19 membawa kepada penularan dalam kalangan ahli keluarga sehingga menyebabkan jumlah kumulatif 24 kes hari ini. Pengesanan kontak lebih komprehensif dan meluas sedang dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata Kluster Jalan Wisma pula melibatkan tujuh kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja sebuah hotel di pusat bandar raya ini yang dicetuskan kes indeks tukang masak lelaki berusia 24 tahun.

“Kes indeks dikesan positif pada Jumaat lepas dan berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berpunca daripada kurangnya pemahaman mengenai pematuhan SOP yang ketat dalam kawasan tempat kerja,” katanya.

Beliau juga berkata Sabah hari ini merekodkan 232 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif di negeri itu sebanyak 64,788 manakala pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 274 orang menjadikan jumlah kumulatif 61,860 orang.

Source link