CPOPC akan berhubung dengan pihak berkepentingan Eropah mengenai kemampanan sawit

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk pembuat dasar serta pertubuhan bukan kerajaan di Kesatuan Eropah (EU) berkaitan perundangan EU yang memberi implikasi negatif terhadap industri minyak sawit dan impaknya kepada pekebun kecil.

Ia juga berhasrat untuk melibatkan negara anggota EU secara individu bagi memberi pengiktirafan ke atas skim pensijilan mandatori kebangsaan seperti Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ke-24.

Mesyuarat secara hibrid itu diadakan di Royal Ambarrukmo, Yogyakarta, Indonesia.

Pada 17 Nov 2021, EU menerbitkan cadangan perundangan bagi mengawal selia produk bebas penebangan hutan.

Susulan itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menggesa Parlimen EU mengiktiraf program pensijilan kebangsaan seperti piawaian MSPO sebagai langkah berkesan untuk memenuhi keperluan peraturan tersebut.

“Melihat kepada perkembangan terkini, pemimpin SOM menegaskan keperluan untuk memfokuskan semula peranan CPOPC.

“Lima fokus berkenaan ialah promosi dan advokasi; perundingan dan kerjasama; penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta latihan; Pekebun kecil; dan kemampanan,” katanya.

Justeru, CPOPC akan menjadi platform yang menjurus ke arah mengintegrasikan, memudahkan serta merapatkan pihak berkepentingan minyak sawit global dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.  CPOPC boleh menjadi platform bagi kempen untuk minyak sawit global dan penglibatan yang melangkaui tetapan nasional atau dua hala, katanya.

“CPOPC juga menetapkan pencapaian penting dalam mengukuhkan rangka kerja organisasi berikutan ratifikasi protokol yang lengkap untuk meminda Piagam CPOPC oleh negara-negara anggota, yang membolehkan pindaan itu berkuat kuasa,” katanya.

Sejumlah 46 fasal yang merangkumi 15 artikel telah dipinda. Inisiatif meminda Piagam Penubuhan CPOPC mengambil kira keperluan untuk membentuk asas yang kukuh bagi hala tuju majlis pada masa hadapan, terutamanya dalam menjadikan CPOPC relevan dan berkesan.

Mesyuarat bersetuju bagi mengadakan SOM ke-25 yang akan datang dengan Mesyuarat Menteri Ke-11 CPOPC di Malaysia, yang mempengerusikan CPOPC mulai 1 Jan 2023 untuk satu tahun kalendar.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button