info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Daging Ayam Dicipta Daripada Sel Haiwan Bakal Dihidang Di Singapura

96views

SINGAPURA, 16 Dis — Daging ayam yang dihasilkan di makmal akan dihidangkan buat julung kalinya dalam masakan di sebuah restoran di Singapura, hujung minggu ini.

Ia selepas syarikat yang menghasilkan produk itu mengumumkan mengenai penjualan sulungnya, hari ini.

Syarikat baharu mula yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Eat Just pada awal bulan ini, berkata produk itu sudah diluluskan untuk jualan di bandaraya itu, sebagai ramuan dalam nugget ayam selepas Singapura menjadi negara pertama yang membenarkan daging yang dihasilkan tanpa penyembelihan sebarang haiwan untuk dijual.

Penggunaan haiwan adalah ancaman kepada alam sekitar kerana lembu menghasilkan gas metana rumah hijau yang kuat, manakala pembalakan untuk membuat padang rumput memusnahkan penghadang semula jadi terhadap perubahan iklim.

Hari ini, syarikat itu berkata, ia akan membuat jualan komersial pertama produk itu kepada 1880, sebuah restoran di Robertson Quay, sebuah pusat hiburan tepi sungai yang mewah.

Ketua Eksekutif Eat Just, Josh Tetrick, berkata berita itu menggerakkan kepada satu dunia di mana majoriti daging yang dimakan tidak memerlukan penebangan hutan tunggal, memusnahkan habitat haiwan atau menggunakan satu antibiotik.

Syarikat itu berkata, restoran itu akan mula menghidangkan makanan berkenaan pada Sabtu ini.

Pada 2 Disember lalu, syarikat itu, berkata daging ayam dihasilkan dalam makmal bakal menjadi hidangan untuk julung kalinya, selepas ia mendapat kelulusan daripada pihak pengawal selia Singapura.

Daging terbabit yang dicipta daripada sel haiwan dan dihasilkan dalam bioreaktor sudah mendapat kelulusan untuk dijual di Singapura sebagai ramuan juadah ayam. – AFP

Source Link