Berita

Dapatkan Kelulusan PDRM Untuk Kutip Derma, Elak Disalah Guna

66views

GOMBAK, 1 Feb — Pihak yang ingin membuat kutipan derma, termasuk sumbangan untuk bantuan COVID-19, perlu mendapatkan kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa mengikut prosedur biasa, pelaksanaan aktiviti mengutip derma mesti mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak ia disalahgunakan.

Beliau menjelaskan sedemikian ketika ditanya berhubung aktiviti sumbangan untuk Tabung COVID-19 Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melalui platform aplikasi e-dagang, Lazada Malaysia.

“Saya tidak pasti, boleh rujuk PPUM. Namun saya difahamkan, prosedur mengutip derma ialah mesti mendapat kelulusan PDRM.

“Sesiapa mahu mengutip derma, termasuk menggunakan tong atau tabung, kena melalui PDRM. Jika tidak, mereka boleh mengutip dan menyalahgunakan derma itu.

“Sebagai contoh kalau banjir, hendak mengutip derma juga perlu laporkan kepada PDRM,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke sekatan jalan raya di Sentul dan Plaza Tol Gombak, hari ini.

Pengarah PPUM, Prof Dr Nazirah Hasnan dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata pihaknya sejak awal penularan COVID-19 lagi mengalu-alukan sumbangan dalam pelbagai bentuk, terutama daripada syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Dr Nazirah berkata, inisiatif Lazada Malaysia menyediakan platform melaksanakan program memacu sumbangan dan memilih pelbagai organisasi, termasuk PPUM, sebagai salah satu entiti untuk menerima sumbangan itu.

Source Link