DBKL rancang perkenal bas GoKL bersaiz kecil bagi laluan sesak, sempit

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk memperkenalkan bas percuma GoKL bersaiz lebih kecil bagi memudahkan pergerakan terutama di laluan luar pusat bandar yang sesak dan sempit.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata ini kerana kawasan luar pusat bandar yang banyak tertumpu di kawasan kediaman mempunyai jalan raya sempit hingga menyukarkan pergerakan bas dan boleh menyebabkan berlakunya perlanggaran.

“Jalan raya di kawasan kediaman tidak sama dengan jalan raya di pusat bandar yang lebar dan luas, ada selekoh dan persimpangan tertentu yang dilalui bas percuma GoKL itu agak susah dan ini akan melambatkan untuk sampai ke destinasi berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ujian percubaan bas percuma GoKL di laluan baharu iaitu Laluan Taman Fadason-MRT Sri Delima dan Laluan MRT Jinjang-Matrade hari ini.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pembekal bas untuk melihat kesesuaiannya.

Ketika ini, bas GoKL adalah bersaiz 13 dan 10 meter panjang.

Dalam pada itu, Mahadi berkata dua laluan baharu bas percuma GoKL tersebut menjadikan secara keseluruhan 13 laluan dengan sasaran 20,000 penumpang sehari bagi setiap laluan dan jumlah itu dijangka bertambah selepas enam bulan pertama pelaksanaannya.

Sepanjang tahun ini hingga Nov lepas, katanya 7.8 juta penumpang menggunakan perkhidmatan bas percuma berkenaan.

Mengenai cadangan mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan tersebut, Mahadi berkata perkara tersebut masih dalam penilitian dan beberapa proses penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Beliau berkata ia termasuk memuktamadkan tambang sesuai, kemudahan gajet dalam bas dan mekanisme paling sesuai untuk digunakan seperti penggunaan kad.

Pada Ogos lepas, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata 45.2 peratus pengguna perkhidmatan bas percuma GoKL adalah warga asing dan tidak menolak kemungkinan bayaran dikenakan pada masa akan datang terhadap golongan itu.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button