
Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Mengharamkan Pemasangan TikTok Pada Peranti Milik Kerajaan
Dewan Perwakilan Amerika Syarikat mengeluarkan notis rasmi mengharamkan pemasangan aplikasi TikTok pada peranti yang diselenggara dan diberikan kepada kakitangan. Aplikasi perlu dipadam sekiranya dipasang dan pemasangannya semula adalah dilarang sama sekali. Seperti beberapa alasan yang diberikan sebelum ini, TikTok didakwa menimbulkan risiko pengguna peranti diintip olej China.
Arahan ini akan memberikan kesan bukan sahaja kepada ahli Dewan Perwakilan tetapi juga kesemua kakitangan mereka. Langkah drastik ini diambil selepas beberapa negeri di Amerika Syarikat turut mengharamkan pemasangan TikTok pada peranti milik kerajaan yang diberikan untuk keperluan kerja.
TikTok sudah beberapa kali menafikan bahawa mereka membenarkan data pengguna Amerika Syarikat diintip oleh pihak ketiga. Sebagai langkah meningkatkan kepercayaan, data pengguna telah dipindahkan ke pelayar milik Oracle di Amerika Syarikat.