Berita

Didenda RM8,000 Kerana Sebar Gambar Lucah

123views

BUTTERWORTH, 24 Feb — Seorang peniaga didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghantar gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Noor Aini Yusof selepas tertuduh, Chang Yoon Siong, 31, membuat pengakuan bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didenda RM1,600 dan jika gagal membayar, boleh dipenjara sebulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Puchong, Selangor didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah ke nombor telefon seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat bagi menyakiti hatinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu menerusi lima kiriman WhatsApp dengan gambar sebanyak dua kali pada jam 1.11 pagi dan tiga kali jam 5.32 petang pada 8 Januari 2017 ketika wanita itu berada di rumahnya di Taman Aman Jaya, Bukit Mertajam di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Source Link