info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Dikompaun Kerana Tidak Imbas Kod MySejahtera Di Pasar Awam

48views

GEORGETOWN, 6 Feb — Seramai 11 individu di Pasar Awam Batu Lanchang, di sini, dikenakan kompaun kerana tidak mengimbas kod MySejahtera, semalam.

Tindakan kompaun itu dikeluarkan polis ketika melakukan pemantauan bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di pasar awam berkenaan pada jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bukan sahaja pengunjung, malah penjual di pasar awam itu juga dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkenaan.

Katanya, laluan di pintu masuk dan kawasan memunggah muatan barangan juga tidak disediakan kemudahan pengimbas.

“Pengunjung dilihat bebas keluar masuk menerusi pintu kiri, kanan dan belakang pasar tanpa melakukan imbasan kod MySejahtera.

“Sehubungan itu, mereka dikenakan kompaun berhubung kesalahan berkenaan dan pemantauan di pasar awam lain akan diteruskan dari masa ke semasa” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya turut mengesan beberapa kesalahan lain sepanjang pemantauan selama empat jam itu.

Katanya, dua laporan polis dibuat atas kesalahan mengikut Akta Imgresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala dua lagi dibuat mengikut Seksyen 269/ Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 berikutan terdapat warga asing tidak mengimbas MySejahtera atau melakukan secara manual menerusi catatan buku.

“Juga satu laporan polis dibuat mengikut kesalahan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja tanpa permit yang sah,” katanya.

Soffian juga berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 27 saman trafik atas pelbagai kesalahan ketika pemantauan dijalankan.

“Pihak pengurusan, Inspektor Kesihatan Awam MBPP dan Pengerusi Persatuan Penjaja Batu Lanchang juga sudah dimaklumkan mengenai kelemahan dan kekurangan di pasar awam berkenaan bagi ditangani segera,” katanya.

Source Link