info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Disiplin Kendiri Kunci Putuskan Rantaian Jangkitan COVID-19

51views

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Saban hari kita disajikan pelbagai berita dan cerita penularan pandemik COVID-19 dalam negara. Sidang media, pengumuman dan perutusan khas acap kali dibuat dengan hasrat murni untuk menyampaikan maklumat serta data terkini kepada rakyat jelata.

Benar, dalam sekelip mata saja COVID-19 mengubah landskap kehidupan seharian kita. Justeru, kita semua harus bersatu hati dan berganding tenaga memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.

Jika diimbas kembali pada awal perkembangan COVID-19, kita kerap diingatkan kerajaan dan media untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta melakukan kawalan diri. Sebelum masuk ke pasar raya misalnya, suhu diambil dan kod QR diimbas menggunakan aplikasi MySejahtera untuk rekod keberadaan kita. Kita begitu rajin membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman setiap kali pulang dari luar dan menyalin baju beberapa kali sehari ketika itu.

Namun, senarionya kini berubah. Pusat beli-belah semakin sesak dan aktiviti rekreasi tidak mematuhi jarak fizikal. Pemakaian pelitup muka tidak diamalkan. Kita mula alpa dengan jarak fizikal satu meter hatta kita mula leka. Keselesaan menyebabkan kita cuai, lantas membawa kepada catatan angka tiga digit kes baharu.

Tatkala Malaysia dilaporkan memasuki gelombang ketiga pandemik, faktor disiplin kendiri sangat penting bagi memutuskan rantaian COVID-19 ini. Ketika virus kian rancak membunuh, kita gagal mendisiplinkan diri mematuhi arahan memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengurangkan rutin harian berisiko terdedah kepada jangkitan.

Sesungguhnya, disiplin diri lebih bermakna lagi berkesan bagi melindungi diri dan keluarga daripada pandemik. Jelas, disiplin kendiri amat mustahak bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Sebenarnya apabila disiplin kendiri kukuh, kita tidak perlu melatah apabila kerajaan bertindak semakin tegas terhadap mereka yang ingkar SOP. Dengan disiplin diri yang mantap, kita akan akan dapat mengawal diri sebelum bertindak. Kita harus bertanyakan diri sendiri – adakah perlu kita berada di luar rumah seandainya tiada keperluan penting untuk berbuat begitu?

Apabila sememangnya ada urusan mustahak di luar, kita mendisiplinkan diri menyelesaikan urusan di luar dengan segera. Ketika di luar, kawalan diri dilakukan untuk mengekalkan jarak fizikal, memakai pelitup muka apabila bersembang dan mengelak berada dalam kumpulan ramai.

Pendekatan dan kawalan diri diambil sememangnya akan menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara kelak.

Ada yang mematuhi SOP apabila berada di tempat awam semata-mata kerana berasa diperhatikan dan takut didenda. Ini tindakan kurang bijak dan bersifat sementara. Sebaliknya, dengan mengamalkan disiplin kendiri, kita dapat melatih diri mematuhi SOP sepanjang masa. Apabila diri berdisiplin, walau bersendirian dalam lif, di tempat letak kereta, malah di mana juga, ia menjadi benteng pertahanan diri untuk mengorak langkah penuh keyakinan.

Natijahnya, pengawalan kendiri melalui disiplin akan berfungsi untuk masa lebih panjang, malah sepanjang hayat. Sebenarnya, segala tindak-tanduk kita bertunjangkan disiplin. Disiplin untuk kerap membasuh tangan dan tidak memakai pelitup muka yang sama berulang kali adalah penting. Apabila setiap individu berdisiplin dalam setiap aspek, potensi jangkitan dapat dikurangkan.

Jadi, disiplin diri perlu terus dimantapkan demi keselamatan sejagat. Ayuh, mari kita bersama-sama membantu petugas barisan hadapan menyempurnakan amanah dipertanggungjawabkan.

Disiplin diri mekanisme tindakan cukup berkesan. Ingatlah, sebagai rakyat Malaysia yang setia, kita semua mempunyai tanggungjawab sosial untuk turut menjayakan amalan pembudayaan norma baharu menangani pandemik COVID-19.

Penulis adalah Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia

Source Link