
Displace Ialah Jenama Televisyen Baru Yang Menawarkan Pemasangan Nirwayar
Displace ialah sebuah jenama televisyen baru dari Amerika Syarikat yang dijangka akan memperlihatkan penawaran televisyen pintar yang cukup unik sekali. Butiran awal memperlihatkan bahawa televisyen ini akan menggunakan panel OLED bersaiz 55 inci dan akan hadir dengan resolusi 4K.
Televisyen OLED dengan resolusi 4K bukanlah sesuatu yang istimewa, tetapi televisyen yang ditawarkan oleh mereka hadir dengan beberapa ciri-ciri menarik yang menjadikan televisyen ini suatu pilihan yang cukup unik sekali.
Salah satu keunikan televisyen ini hadir daripada komponen-komponen yang menguasakannya. Ini termasuklah penggunaan CPU daripada AMD dan juga cip pemprosesan grafik daripada NVIDIA, yang mana butiran mengenainya tidak diketahui lagi.
Televisyen Displace ini juga mempunyai berat sekitar 9KG sahaja, dan mempunyai mekanisma “active-loop vacuum technology” yang membolehkan ia dilekapkan kepada dinding tanpa perlu menggunakan pencagak VESA yang secara lazimnya perlu digerudi kepada dinding.
Akan tetapi, keunikan utama yang ditawarkan melalui televisyen ini ialah penggunaan pek bateri yang boleh ditukar untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kabel-kabel untuk memastikan pemasangan yang lebih kemas.
Pihak Displace mengatakan bahawa dengan satu pengecasan penuh, pek bateri ini boleh bertahan selama sebulan dengan penggunaan harian sekitar enam jam. Ia juga mempunyai sokongan untuk kawalan menggunakan gerakan tangan dan suara melalui pengawal jarak jauhnya.
Lebih menarik lagi, walaupun televisyen ini mempunyai saiz 55 inc sahaja, ia boleh digabungkan bersama tiga televisyen lain untuk dibina menjadi televisyen 110 inci yang juga mempunyai resolusi yang lebih besar.
Displace telah mengesahkan bahawa mereka akan membuka reruai di acara CES 2023 kelak, dan butiran lanjut mengenai televisyen ini akan diperlihatkan sewaktu acara tersebut.