info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Dividen ASB 4.25 Sen, Pengagihan Ehsan 0.75 Sen

93views

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran 5.00 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Ia membabitkan pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan juga pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB sempena ulang tahun ke-30 dana amanah itu.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, ia membabitkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 173.2 bilion unit.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif meskipun berdepan cabaran ekonomi akibat COVID-19.

“Bagi pemegang lebih 30,000 unit, mereka juga menerima manfaat pengagihan ehsan ini sebagai tanda penghargaan kami kepada pemegang unit ASB yang terus setia bersama kami sepanjang 30 tahun dana ini diperkenalkan.

“Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana ASB sepanjang 30 tahun, sejak mula diperkenalkan pada 1990, adalah sebanyak RM159.6 bilion,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain dan dana itu terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan melabur untuk jangka panjang.

Katanya, strategi kepelbagaian portfolio ASB terus mencatatkan kemajuan tahun ini, dengan peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap.

“Pelaburan dalam aset antarabangsa meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2019.

“Dalam suasana turun naik pasaran global, strategi ini telah mula membuahkan hasil yang positif, dengan bahagian sumbangan pendapatan kasar dari ekuiti awam antarabangsa meningkat dari 6.3 peratus pada 2019 kepada 24.2 peratus pada 2020,” katanya.

INFO: Dividen ASB 2010-2020

2020: 4.25 + 0.75

2019: 5.00 + 0.50

2018: 6.50 + 0.50

2017: 7.00 + 1.25

2016: 6.75 + 0.50

2015: 7.25 + 0.50

2014: 7.50 + 1.00

2013: 7.70 + 1.00

2012: 7.75 + 1.15

2011: 7.65 + 1.15

2010: 7.50 + 1.25

Source Link