info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Doktor Rugi Lebih RM20,000, Ditipu Sindiket Macau Scam

87views

GEORGE TOWN, 27 Okt — Seorang doktor sebuah klinik swasta kerugian RM20,168.60 selepas dipercayai ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai perniagaan, dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah, di Bayan Baru, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A. Anbalagan berkata lelaki berusia 27 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Ridzuan’ dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kelantan pada hari berkenaan dengan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan cukai perniagaan selama 18 bulan.

“Mangsa kemudian menafikannya sebelum panggilan disambung kononnya kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan bercakap dengan lelaki mendakwa sebagai pegawai polis yang memaklumkan doktor tersebut pernah terbabit dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

“Doktor itu juga dimaklumkan bahawa pendakwa raya akan menghubunginya bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan dan meminta mangsa supaya memberi kerjasama kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh sejam selepas panggilan itu, mangsa menerima 12 Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dari bank dan dia telah menghantar nombor berkenaan kepada suspek bagi tujuan menyelesaikan kes tersebut.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan penyata akaunnya di bank semalam, dan terkejut apabila mendapati wangnya sebanyak RM20,168.60 telah tiada sebelum bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Source link