Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaDua kali keguguran tidak lunturkan semangat pelajar habiskan pengajian PhD

Dua kali keguguran tidak lunturkan semangat pelajar habiskan pengajian PhD

JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) — Mengalami keguguran sebanyak dua kali dan menghidap masalah kesihatan, tidak sesekali melunturkan semangat seorang pelajar untuk memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Malah Nur Liyana Sulaiman,36, berkata dia yang melanjutkan pelajaran pada 2012 berjaya menghabiskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Perisian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meskipun ia mengambil masa selama sembilan tahun.

Wanita berasal dari negeri jelapang padi itu berkata motivasinya juga menurun dan pernah berputus asa, terutama selepas menghidap Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA) pada 2013, dan kerap kali berulang-alik ke hospital sehingga beransur pulih pada 2019.

“Boleh kata setiap tahun saya masuk hospital disebabkan MRSA, dalam masa sama perlu fokus belajar. Saya pernah banyak kali terfikir untuk berhenti (belajar) kerana tidak larat hendak pergi hospital.

“Motivasi akan jadi menurun, sebab lihat orang lain juga sakit (di hospital) dan perlu masuk ubat serta badan jadi lemah. Namun, suami dan keluarga sentiasa beri sokongan jadi itu antara penguat saya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen UTM ke-65 di sini hari ini.

Nur Liyana yang berbadan dua dan hanya meniti hari untuk melahirkan cahaya mata ketiga, hadir konvokesyen berkenaan ditemani suaminya Azri Amin Che Din, 37, serta ahli keluarga.

Katanya dia merasakan segala beban dan keringatnya untuk menghabiskan pengajian selama sembilan tahun kini berbaloi setelah menggenggam skrol hari ini.

Sementara itu, pasangan suami isteri Jamilah Mahmood dan Muhammad Aliif Ahmad yang masing-masing berusia 33 tahun melahirkan kesyukuran selepas kedua-duanya menerima skrol ijazah PhD Sistem Maklumat.

Menyambung pelajaran bersama-sama memahat kenangan manis buat pasangan itu apabila dapat memahami jerih payah untuk menghabiskan pengajian.

“Kami dapat saling membantu, pergi persidangan dan ‘publish paper’ (terbitkan penulisan akademik) bersama, begitu juga semasa ambil ijazah Sarjana, kami juga berdua habiskan pengajian bersama-sama,” kata pasangan yang dikurniakan seorang cahaya mata itu.

Pasangan itu turut ditugaskan sebagai pensyarah di cawangan UTM di Kurdistan, Iraq iaitu di Qaiwan International University selama setahun pada 2019, sebelum bertugas di UTM, di sini.

Seramai 5,672 graduan UTM menerima ijazah serta diploma hari ini, dan majlis konvokesyen itu akan berlangsung dalam 14 sesi bermula hari ini sehingga 28 Mei.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular