Berita

Dua Mangsa Kejadian Tanah Runtuh Di Tambun Berjaya Dikeluarkan

80views

IPOH, 10 Nov — Dua mayat ditemukan tertimbus dalam tanah runtuh di sebuah resort pelancongan yang terletak di kawasan gunung di Tambun di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata mayat mangsa lelaki ditemukan pada pukul 9.55 pagi sebelum mayat mangsa wanita dijumpai beberapa minit kemudian di dalam jakuzi di sebuah unit resort itu.

“Bagaimanapun, hubungan kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an belum dikenal pasti dan siasatan awal mendapati tanah runtuh berlaku di kawasan cerun salah satu bukit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa terpaksa ditangguh beberapa kali pada awal pagi tadi susulan terdapat pergerakan tanah dan pengaliran air namun disambung semula kira-kira pukul 7 pagi selepas mendapat nasihat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak dengan menggunakan backhoe.

Katanya, kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu disedari kakitangan resort lalu mengarahkan semua penginap di dalam empat unit yang berpenghuni untuk menyelamatkan diri namun dua mangsa berkenaan terperangkap.

Beliau berkata kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Azmi Osman berkata seramai 47 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan unit anjing pengesan K9 dari Lembah Klang.

“Tanah runtuh setinggi 100 meter dan pergerakan air di atas bukit kemungkinan disebabkan hujan lebat beberapa hari ini,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak Mat Niza Abdul Rahman berkata pemeriksaan pihaknya mendapati kawasan kejadian dikelilingi bukit batu kapur atas tanah baki yang ditumbuhi pokok namun tanah itu menjadi lemah apabila terkena air hujan.

“Apabila tanah semakin lemah, ia menyebabkan tanah runtuh hingga menimbus sebahagian daripada kawasan resort,” katanya.

Mat Niza berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi langkah seterusnya termasuk melakukan kajian tahap keselamatan di sekitar kawasan tersebut dan tidak menolak kemungkinan terdapat risiko berlaku lagi kejadian sama di lokasi berkenaan.

Sementara itu, The Banjaran Hotsprings Retreat dalam kenyataan memaklumkan, resort itu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menghubungi keluarga kedua-dua mangsa serta akan memberikan sokongan dan bantuan diperlukan.

Kenyataan itu memberitahu tiada penghuni lain dan kakitangan yang terjejas dengan kejadian itu dan kesemua mereka telah dipindahkan ke tempat selamat.

“Kami ingin memaklumkan bahawa resort ini memenuhi semua syarat dan protokol kesihatan oleh pihak berkuasa berkaitan dan beroperasi mengikut standard antarabangsa.

“Keselamatan dan kesihatan para tetamu dan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.

Resort itu menambah, pihaknya tidak dapat memberi ulasan lanjut mengenai kejadian itu kerana polis sedang menjalankan siasatan.

— BERNAMA

Source Link