info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Dua Pemandu Lori Ditahan Bawa Rokok Seludup

Gambar ihsan The Star
36views

JOHOR BAHRU, 8 Okt — Dua lelaki tempatan berusia 45 dan 48 tahun dalam serbuan pada pukul 3 petang dan 5.40 petang oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (PPM Wilayah Dua) telah ditahan di sekitar Johor Bahru petang semalam kerana menyeludup 41,800 karton rokok pelbagai jenama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(E) Akta Kastam 1967 dan suspek telah ditahan reman selama tiga dan enam hari mulai hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan bahawa ia merupakan rampasan terbesar tahun ini dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM6.66 juta termasuk nilai rokok, duti rokok dan dua buah lori.

Menurut Ayob Khan ketika berucap di Markas PPM Wilayah Dua yang turut dihadiri oleh Komander PPM Wilayah Dua ACP Muhd Zailani Abdullah, pihak polis percaya bahawa rokok yang diseludup adalah untuk pasaran dalam dan luar Johor.

Ayob Khan berkata, sindiket yang terlibat telah menukar modus operandi dengan tidak lagi menyimpan bekalan rokok di dalam gudang atau stor bagi mengelakkan daripada dihidu pihak berkuasa.

Sebaliknya, mereka kini menghantar terus rokok seludup tersebut ke lokasi yang dikehendaki dengan menggunakan lori yang mengambilnya dari bot-bot kecil yang menerima bekalan dari kapal negara jiran yang transit diperairan antarabangsa.

Ayob Khan berkata pihak polis telah mengenal pasti perairan Pantai Timur yang digunakan oleh sindiket berkenaan.

Bagi membanteras aktiviti penyeludupan rokok secara besar-besaran, selain mematahkan sindiket penyeludupan, Ayob Khan berkata pihak polis juga akan menggempur premis yang menjual rokok mengikut daerah dalam masa terdekat ini.

Selain itu, Polis Kontinjen Johor juga ada membuat cadangan ke Putrajaya agar kes penyeludupan rokok boleh disiasat di bawah jenayah terancang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)

Ayob Khan mendakwa, pihak polis telah dapat mengenalpasti dalang utama tapi sukar untuk kaitkan dengan kesalahan mereka buat masa ini.

Leave a Response