Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaDuta pelancongan dan kebudayaan kongsi rancangan promosi Malaysia

Duta pelancongan dan kebudayaan kongsi rancangan promosi Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Tiga Duta Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menzahirkan keterujaan mereka memain peranan untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata duta berkenaan,  Datuk Chef Ismail Ahmad untuk segmen gastronomi, Datuk Lee Jin Bok untuk pasaran Korea Selatan dan  Kabir Khan Mohamad Reaz untuk pasaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) dilantik pada 1 Jun 2021, berkuat kuasa selama dua tahun.

Pada sesi perjumpaan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 17 Mei lepas di sini, duta-duta berkenaan membincangkan rancangan mereka untuk mempromosikan Malaysia dalam era pasca pandemik.

Semasa perjumpaan itu, Nancy menzahirkan rasa terima kasih kepada duta berkenaan atas usaha promosi mereka biarpun berhadapan kekangan akibat pandemik.

Ismail dalam kenyataan sama berkata beliau aktif mempromosi masakan asli Malaysia di peringkat global menerusi pelbagai usaha di tengah-tengah pandemik.

Antaranya kerjasama dengan saluran YouTube Korea, Blimey dan juga kelas memasak persendirian dengan Persatuan Isteri Wakil Ketua-Ketua Diplomat di Malaysia (SOHOM).

“Idea untuk kerjasama rapat dengan SOHOM datang kepada saya tiga tahun lepas dan saya amat berterima kasih kami dapat meneruskan program diplomasi gastronomi tahun ini, kata chef selebriti itu.

Berkongsi rancangannya dalam masa terdekat, Lee meramalkan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa terutamanya warga Korea Selatan pada 2023 selepas kelonggaran sekatan sempadan, termasuk pelancong, ahli perniagaan dan pemain golf.

Pada masa sama, saya akan menganjurkan pembukaan besar-besaran Persatuan Pertukaran Kebudayaan dan Ekonomi Malaysia-Korea (KMEC) di Malaysia pada 23 Mei,” katanya.

Sementara ahli silap mata terkemuka dunia kelahiran Pulau Pinang Kabir Khan berkata usaha pemulihan semula Malaysia pasca pandemik perlu dilihat sebagai mengeset semula sektor pelancongan yang memberikan peluang kepada negara untuk menghasilkan pendekatan baharu.

“Semasa persembahan saya di seluruh Eropah, UK dan AS, anda dapat lihat penonton sangat berminat untuk mengetahui mengenai Malaysia. Bagaimanapun pasaran tertentu mendengar dengan cara berlainan, maka strategi yang betul perlu diadakan untuk mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Apa yang saya ingin lakukan untuk menarik pelancong jarak jauh ini ialah dengan mengadakan pakej yang berbaloi dengan nilai wang yang dibelanjakan mereka dengan mereka dapat menikmati beberapa destinasi dengan satu harga,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular