info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

e-Tanah Dipertingkat, Sasar Untuk Beroperasi Secara Elektronik Sepenuhnya

Gambar ihsan The Star
238views

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Muhammad Yasir Yahya hari ini menyatakan bahawa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian menerusi kerjasama dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) akan terus mempertingkatkan keupayaan sistem e-Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melalui pelaksanaan Pembentangan dan Pendaftaran Secara Dalam Talian (Online Presentation & Registration) yang mana serahan dan pendaftaran urus niaga tanah bakal dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menjelang tahun 2021.

Sehingga kini sistem e-Tanah WPKL telah dibangunkan secara berfasa, mengandungi sembilan modul utama meliputi keseluruhan urusan pentadbiran tanah seperti pelupusan tanah, pembangunan tanah, pendaftaran hak milik, kebenaran pindahan, urus niaga dan bukan urus niaga, pengambilan tanah, lelongan awam serta pungutan hasil tanah.

Menurut Muhammad Yasir, perkhidmatan sistem carian bersepadu dikenali ‘Single Windows Search‘ (SWS) yang diperkenalkan dan menjadi salah satu komponen portal e-Tanah WPKL telah diiktiraf dunia apabila Malaysia memenangi tempat pertama kategori perkhidmatan awam menerusi ASEAN ICT Award 2018 dan berada di kedudukan ke-33 daripada 190 buah negara dalam Laporan ‘Ease of Doing Business 2020‘ oleh Bank Dunia bagi indikator pendaftaran hartanah.

SWS merupakan sistem bersepadu untuk membuat carian maklumat hak milik (PPTG WPKL), status kebankrapan (Jabatan Insolvensi) dan maklumat syarikat (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dalam talian tanpa perlu secara fizikal hadir ke tiga jabatan berbeza dan  secara tidak langsung mengurangkan jumlah prosedur bagi pendaftaran hartanah di Kuala Lumpur daripada lapan kepada lima prosedur.

Selain itu, menurut Muhammad Yasir lagi, menerusi ‘Single Point of Contact‘ (SPOC), urusan pembayaran cukai tanah dan petak, carian persendirian hak milik dan strata, permohonan tanah serta semakan status permohonan dapat dilakukan secara dalam talian melalui portal e-Tanah ini.

SPOC merupakan pusat perkhidmatan setempat dalam sistem e-Tanah yang menyediakan kemudahan perkhidmatan pelanggan yang komprehensif kepada orang awam yang berurusan di PPTG WPKL.

Leave a Response