BeritaEkonomi

Ekonomi Malaysia meningkat apabila lebih banyak negeri beralih fasa PPN

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Ekonomi Malaysia semakin meningkat dengan lebih banyak negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata strategi kesihatan dan langkah ekonomi yang berkesan bersama pengamalan norma baharu sangat penting kepada perniagaan untuk menjadi lebih berdaya tahan terutama dengan bermulanya lebih banyak aktiviti perniagaan dan waktu operasi yang lebih panjang.

Beliau berkata kelembapan aktiviti ekonomi utama negara dapat dilihat pada bulan Julai 2021, namun, ramalan ekonomi yang lebih positif dijangka berlaku menjelang akhir 2021.

“Seterusnya, pemulihan ekonomi bukan sahaja akan kembali rancak pada akhir tahun 2021 tetapi juga akan mencorak masa depan yang lebih cerah bagi Malaysia pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini bersempena dengan penerbitan terkini Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR).

Mohd Uzir menyatakan indikator ekonomi terpilih mencatatkan peningkatan sederhana tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 berikutan negara beralih ke fasa pertama PPN pada 15 Jun 2021.

“Perdagangan Malaysia kekal dalam momentum positif pada bulan Julai 2021, walaupun pada kadar yang lebih perlahan 13.0 peratus. Eksport meningkat 5.0 peratus manakala import melonjak 24.0 peratus, menyebabkan kemerosotan dalam lebihan dagangan sebanyak 45.8 peratus.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 5.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya setelah mencatatkan pertumbuhan positif selama lapan bulan berturut-turut terutamanya disumbangkan oleh kejatuhan 6.5 peratus dalam indeks pembuatan,” kata beliau.

Mohd Uzir menambah di sektor perkhidmatan, trajektori pertumbuhan terus menurun berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara dengan nilai jualan perdagangan borong dan peruncitan jatuh 14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021.

Dari segi harga, Indeks Harga Pengguna meningkat 2.2 peratus terutamanya disumbangkan oleh kumpulan pengangkutan, kata beliau.

“Indeks Harga Pengeluar tempatan pada bulan Julai 2021 meningkat 11.7 peratus didorong oleh lonjakan dalam indeks perlombongan berikutan kenaikan harga komoditi gas asli dan minyak mentah,” tambahnya.

Mohd Uzir memaklumkan prestasi ekonomi negara yang tidak setara menunjukkan Malaysia masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Indeks Pelopor (IP) merosot 4.0 peratus tahun ke tahun pada bulan Julai 2021 untuk mencatatkan 105.0 mata, manakala berasaskan bulanan, IP menyusut 0.6 peratus.

“Trend penurunan juga dicerminkan dalam kadar pertumbuhan IP terlicin sejak Mac 2021 yang menjangkakan ketidakpastian terhadap prospek ekonomi,” kata beliau.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button