Home Berita Eksport buah-buahan Thailand terus catat peningkatan

Eksport buah-buahan Thailand terus catat peningkatan

35
0

BANGKOK, 1 Jun (Bernama) — Eksport pelbagai jenis buah-buahan Thailand semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna yang mementingkan kesihatan di seluruh dunia.

Menurut kenyataan Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Kementerian Perdagangan, Thailand ialah pengeksport buah-buahan ketujuh terbesar dunia, dengan nilai eksport berjumlah US$6.2 bilion pada 2021, peningkatan sebanyak 48 peratus, menurut data Global Trade Atlas.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai gemar menikmati buah-buahan dan jus buah-buahan berikutan semakin ramai kini memilih diet lebih sihat, satu trend yang dilihat kian mendapat tempat dalam kalangan penduduk dunia semasa pandemik COVID-19.

“Buah-buahan segar mewakili bahagian terbesar eksport buah-buahan Thailand, dengan Asia menjadi pasaran utama. Negara ini juga mengeksport buah-buahan dalam tin ke seluruh dunia, buah-buahan beku, ais krim, buah-buahan kering, dan minuman, seperti nanas, mangga, jambu batu, dan jus serta air kelapa.

“Pasaran di Amerika Syarikat dan negara Eropah telah menyaksikan permintaan lebih tinggi untuk jus buah-buahan organik, selain jus yang rendah gula dan kalori, atau tambahan bahan-bahan menyihatkan termasuk vitamin dan probiotik,” menurut DITP.

Sementara itu, Pengarah Urusan P.K. Siam Co., Ltd., Pimjai Matsumoto, berkata syarikatnya telah menawarkan pelbagai jenis buah-buahan kepada pengguna di Jepun.

P.K. Siam Co., Ltd adalah satu daripada pengimport buah-buahan Thailand yang terkemuka di Jepun.

“Kami bermula dengan buah mangga dan kini ditambah dengan buah-buahan lain seperti kelapa, durian, manggis, limau barli dan asam jawa.

“Asam jawa menunjukkan prestasi sangat baik tahun ini dan kini boleh didapati di banyak gedung beli-belah,” katanya dalam satu kenyataan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Previous articleHungary sahkan kes pertama cacar monyet
Next articlePertumbuhan KDNK Malaysia diunjur kekal pada 6.0 peratus
Sistem Automasi Berita