Berita

Eksport Pertanian Johor Bakal Dijenamakan Sebagai “Made In Johor”

47views

ISKANDAR PUTERI, 30 Nov  — Semua produk eksport pertanian negeri ini sama ada ke Singapura atau pasaran antarabangsa akan dijenamakan sebagai “Made in Johor” bagi menambah nilai sekali gus mengukuhkan penjenamaan berkenaan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata susulan itu produk pertanian yang bakal dieksport akan ditambah nilai dari segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan dan kualiti supaya ia diyakini sekali gus menjadi pilihan baharu rakyat Singapura mahupun antarabangsa.

Beliau berkata usaha itu akan dirintis menerusi pembangunan Agricultural Export Center (AE Center) bagi proses pensijilan dan kelulusan daripada jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dapat dijayakan.

“Inilah cadangan dan strategi kerajaan Johor bagi penjanaan hasil baharu berasaskan perkhidmatan industri hiliran pertanian dan makanan negeri ini.

“AE Center yang akan dibangunkan ini juga bakal menjadi pusat keselamatan dan kualiti makanan menurut piawaian antarabangsa, penjenamaan dan akses kepada pasaran pertanian dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom), K. Raven Kumar (PN-Tenggaroh) dan Abd Taib Abu Bakar (PN-Machap) yang ingin tahu langkah dan sumber baharu yang dikenal pasti Kerajaan Negeri Johor bagi menjana hasil negeri, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Hasni berkata Kerajaan Johor amat yakin dengan penglibatan Kerajaan Persekutuan, pihak swasta serta pelabur strategik, maka, usaha pembangunan AE Center produk pertanian eksport dapat direalisasikan dan jenama produk pertanian negeri akan diperkasakan.

Sementara itu, Hasni berkata, mengikut rekod Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), sebanyak 970,000 tan metrik produk pertanian segar atau dianggarkan bernilai RM1.19 bilion seperti buah-buahan, ayam hidup, ikan segar serta daging dihantar ke Singapura, pada tahun lepas, melalui Tambak Johor.

Katanya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, penghantaran produk pertanian segar ke Singapura berjumlah hampir 350,000 tan metrik dengan nilai RM1.48 bilion pada suku kedua 2020.

— BERNAMA

Source Link