info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Empat Lelaki Mabuk, Ganggu Tugas Polis Didakwa

53views

TANJUNG MALIM, 20 Okt — Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini, atas pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas berhampiran Plaza Tol Slim River, Jumaat lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada P. Panneerselvan, 32, S. Vijandran, 41, A. Sivakumar, 28, dan R. Durai Raaj, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail berikutan fakta kes tidak diakui, kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Malaysia.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa sengaja menghalang seorang anggota polis Muhd Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya, dengan tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dari lokasi kejadian, serta gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta berbuat demikian.

Panneerselvan, Vijandran serta Sivakumar yang merupakan pekerja trak tunda dan Durai Raaj yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River-Tanjung Malim kira-kira pukul 3.30 pagi, 16 Okt lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, Durai Raaj turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip rompi polis (vest) Muhd Syahrul, di tempat dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Durai Raaj didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam A. Puvanasvary merayu jaminan yang rendah atas alasan keempat-empat tertuduh perlu menanggung ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing.

Majistret kemudian membenarkan Panneerselvan, Vijandran serta Sivakumar diikat jamin sebanyak RM3,000 manakala tambahan RM2,500 ke atas Durai Raaj bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah menetapkan 26 Okt ini sebagai sebutan semula kes dengan memanggil jurubahasa Tamil.

— BERNAMA

 

Source link