info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Empat PPV di Kuala Lumpur dipindahkan ke PPV bersaiz mega

131views

PUTRAJAYA, 25 Mei — Janji temu di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Kuala Lumpur dipindahkan ke PPV bersaiz mega bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan penerima vaksin terutama orang kurang upaya (OKU) dan warga emas, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata janji temu dari tarikh 31 Mei dan 6 Jun di PPV Dewan Komuniti Manjalara dan PPV Stadium Titiwangsa dipindahkan ke Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Duta yang akan beroperasi pada 31 Mei ini.

PPV Dewan Komuniti Desa Tasik dan Kompleks Komuniti Muhibbah pula akan dipindahkan ke PPV Axiata Arena di Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 7 Jun ini, katanya.

“Semua janji temu di PPV Axiata Arena ini adalah janji temu yang baharu dan tidak perlu dijadualkan semua kerana tidak ada lagi janji temu di keluarkan di tempat ini,” katanya  dalam sidang media secara maya perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Khairy berkata keputusan pemindahan lokasi itu dibuat hasil pemantauan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 yang mendapati amalan penjarakan sosial sukar dipatuhi di PPV sedia ada.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata setakat ini, seramai 1,578,225 individu telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 dos pertama, manakala 905,271 telah lengkap dua dos suntikan.

“Kadar vaksinasi mula cecah lebih 75,000 dos sehari dengan rekod tertinggi 95,000 dos semalam (24 Mei). Kami jangka kadar vaksinasi akan meningkat kepada sasaran iaitu 150,000 dos pada Jun,” katanya.

Mengenai vaksin AstraZeneca pusingan kedua, Khairy berkata 1,261,600 dos diperuntukkan untuk pusingan itu melibatkan lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Pemberian vaksin AstraZeneca pusingan kedua itu melibatkan empat PPV baharu iaitu Setia SPICE Arena (PISA) di Bayan Lepas, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru; Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak, katanya.

“Jumlah terkini pendaftaran tempahan slot vaksin AstraZeneca untuk pusingan kedua ialah sebanyak 228,347 slot dan sistem tempahan ini masih lagi dibuka dan akan terus menerima pendaftaran,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata tempahan slot vaksin AstraZeneca pusingan kedua akan dibuka untuk mereka yang di bawah usia 60 tahun mulai 12 tengah hari esok.

“Walau bagaimanapun, kami akan beri keutamaan kepada warga emas,” katanya.

Khairy turut memaklumkan satu ciri baharu akan diperkenalkan dalam aplikasi MySejahtera dalam masa terdekat bagi mengenal pasti ibu mengandung dan menyusu untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Melalui ciri baharu ini, ibu mengandung dan ibu sedang menyusu boleh kenal pasti dalam MySejahtera untuk diberikan janji temu berdasarkan vaksin yang disyorkan contohnya ibu hamil antara 14 hingga 33 minggu vaksin Pfizer-BioNTech,” katanya.

— BERNAMA

Source link