info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Enam Rumah Kedai Di Umbai Terbakar

33views

JASIN, 11 Okt  — Enam rumah kedai lama di Pekan Umbai, di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 7.19 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Penguasa Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Noh berkata, seramai 33 pegawai dan anggota bomba digerakkan dan tiba ke lokasi 10 minit kemudian.

Beliau berkata kebakaran itu membabitkan deretan rumah kedai yang menjalankan perniagaan kedai perkakasan dan peralatan rumah, kedai runcit dan bengkel motor, dengan lima kedai musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 70 peratus.

“Walaupun berdepan kesukaran memadam api kerana kekurangan bekalan air, namun kita dapat bantuan daripada balai lain, selain faktor struktur bangunan kayu yang menyebabkan api merebak dengan cepat.

“Bagaimanapun api dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 8.16 malam dan anggota kita berjaya mengawal kebakaran, daripada merebak ke deretan kedai lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, malam ini.

Muhammad Izwan berkata, kebakaran dipercayai bermula dari kedai pertama deretan tersebut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut berlaku.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil menggunakan lima jentera.

Sementara itu, seorang mangsa Chong Chi Wei, 28,  berkata, beliau dimaklumkan kejadian itu menerusi seorang rakannya dan tiba di kedai runcitnya pada pukul 7.30 malam dan mendapati api semakin marak dan merebak ke premisnya.

Katanya rumah kedai kayu itu telah usang dan dipercayai berusia hampir 100 tahun.

“Saya tutup kedai pada pukul 12.30 tengah hari tadi. Saya tak sempat selamatkan apa-apa dari kedai kerana api marak dengan cepat,” katanya.

— BERNAMA

Source link