info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

FGV Capai 81 Peratus Kebolehkesanan FFB

87views

KUALA LUMPUR, 12 Nov — FGV Holdings Bhd telah mencapai 81 peratus kebolehkesanan ke ladang (TTP) bagi tandan buah segarnya (FFB) setakat ini dan berada di landasan untuk mencapai sasaran 100 peratus pada suku keempat 2021.

Pengeluar minyak sawit utama negara itu dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif kebolehkesanan itu bertujuan untuk memastikan sumber FFB yang diperolehnya tidak dikaitkan dengan penebangan hutan, penanaman di tanah gambut dan pembakaran terbuka, sejajar dengan dasar kelestarian kumpulan dan komitmen ‘Tiada Penebangan Hutan, Tiada Tanah Gambut dan Tiada Eksploitasi’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata pengesanan FFB ke ladang asal memberi cabaran berikutan rantaian bekalan yang kompleks dalam rangkaian peniaga FFB.

“Ini disebabkan hakikat bahawa FGV mendapatkan dua pertiga daripada FFB daripada pembekal luar terdiri daripada peneroka FELDA, pekebun kecil persendirian serta peniaga FFB, manakala hanya satu pertiga daripada FFB didapatkan terus daripada ladang kami sendiri.

“Justeru, mencapai TTP lebih daripada 80 peratus merupakan satu pencapaian yang sangat besar kepada kami,” katanya.

Setakat Oktober 2020, 28 peratus daripada bekalan FFB FGV diperoleh daripada ladangnya sendiri manakala 72 peratus daripada luar.

Source link