info@rakyat.my
Saturday, June 19, 2021
Berita

Finas Tawar Program Akreditasi Dan Pentauliahan Kepada Penggiat Seni

74views

KUALA LUMPUR, 30 Okt  — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menawarkan Program Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif kepada penggiat industri, kru dan pekerja dalam industri itu terutama sektor perfileman.

Finas dalam kenyataan hari ini berkata selain memberi pentauliahan, program itu juga bertujuan memastikan tenaga kerja serta produksi yang terlibat memiliki tahap standardisasi profesional yang diperakui secara sah dan berstruktur.

Selain itu, program tersebut akan mewujudkan satu pusat pangkalan data tenaga kerja industri kandungan kreatif dan bakal menjadi rujukan pelbagai pihak pada masa akan datang.

“Objektif inisiatif ini adalah untuk meningkatkan tahap keupayaan kumpulan tenaga kerja industri kreatif berkemahiran tinggi yang diperlukan ke arah untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi serta melindungi kepentingan dan hak tenaga kerja industri kreatif khususnya sektor perfileman negara.

“Finas optimis bahawa program ini mampu menaik taraf standard pengamal industri dan memastikan individu yang berkaliber sahaja berada dalam bidang kandungan kreatif tanpa meminggirkan mana-mana pihak yang sedang bergiat secara aktif,” menurut kenyataan itu.

Program itu akan memfokus kepada dua kategori utama iaitu berpengalaman sama ada memiliki sijil atau tanpa sijil, atau tanpa pengalaman dengan sijil atau tanpa sijil.

Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon hendaklah merupakan seorang warganegara dan berumur 18 tahun ke atas semasa membuat permohonan.

Permohonan penyertaan telah dibuka mulai 15 Okt lepas melalui pautan http://akreditasi.finas.my/login.php dan sebarang maklumat lanjut berkaitan program itu boleh didapati dengan melayari laman sesawang Finas atau berhubung terus dengan urus setia program di talian 03-4104 1747/1748.

— BERNAMA

Source link