info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Firma Audit, Juraudit Didenda Kerana Tidak Mematuhi Standard Pengauditan

109views

KUALA LUMPUR, 19 Okt — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan larangan terhadap firma audit RSL PLT (RSL) dan rakan kongsinya daripada diterima sebagai pelanggan dan melakukan pengauditan terhadap entiti berkepentingan awam atau dana berjadual bagi tempoh 12 bulan berkuat kuasa 1 November ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata kedua-dua rakan kongsi terbabit adalah Lim Lip Chin dan Lim Sang Chee.

Selain larangan itu, SC menerusi Lembaga Pemantauan Audit (AOB) juga turut mengenakan denda sebanyak RM175,000 terhadap RSL dan RM44,000 ke atas Lim Lip Chin.

“Firma dan rakan kongsinya itu dikenakan tindakan oleh AOB kerana tidak mematuhi standard pengauditan mengenai asas dan teras prosedur audit ketika mengaudit sebuah syarikat tersenarai awam.

“Ini telah menjejaskan kenyataan kewangan penting seperti pelaburan dalam sekutu, kos pembangunan hartanah, perdagangan, perolehan dan kos daripada kontrak pembinaan dan konsolidasi kumpulan,” katanya.

Menurut SC, susulan keputusan AOB, pihak RSL dan rakan kongsi terbabit telah merayu kepada suruhanjaya itu.

Namun, setelah penilaian lanjut dilakukan, SC telah menolak rayuan berkenaan dan mengekalkan keputusan AOB.

— BERNAMA

Source link