Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaFLFAM sangkal dakwaan tutup ladang ayam sebagai tanda protes

FLFAM sangkal dakwaan tutup ladang ayam sebagai tanda protes

MELAKA, 18 Mei (Bernama) — Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya sekumpulan penternak ayam merancang menutup ladang ternakan mereka sebagai protes kelewatan pemberian subsidi harga ayam oleh kerajaan.

Penasihatnya Datuk Jeffrey Ng berkata berkata sekiranya ia benar, tindakan itu bersifat persendirian dan mereka perlu menanggung segala risiko sendiri jika berbuat demikian.

Katanya tindakan menutup operasi mengikut keperluan adalah amalan biasa dalam kalangan syarikat atau pengeluar ayam, dan pihaknya tidak pernah menasihatkan mana-mana ahli untuk henti operasi, kecuali jika ada sebab-sebab tertentu seperti tidak cukup pekerja atau mahu menyelesaikan isu-isu syarikat mereka.

“Jika benar (tindakan henti operasi) mungkin sebab ada syarikat yang nak rehat dua hari, janganlah kita kaitkannya dengan isu-isu besar yang langsung tiada kaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung penyebaran maklumat berkenaan, dan pada masa yang sama tidak mahu isu itu diperbesarkan sehingga pihak berkaitan, terutama kerajaan, terpaksa turun padang untuk membuat semakan di peringkat rantaian.

Ng berkata pihak persatuan tidak pernah meminta mana-mana ahli membuat protes tetapi mereka juga tidak boleh menghalang mana-mana pihak hendak melakukannya, namun ahli di minta agar jangan libatkan persatuan.

Terdahulu sebuah laporan akbar tempatan mendedahkan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan hujung minggu ini sebagai protes terhadap kerajaan yang dikatakan lambat membayar subsidi harga ayam.

Ia susulan satu memo yang dikeluarkan semalam oleh sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin kepada pembekal yang memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ayam-ayam hidup di ladang mereka tidak mencapai berat pada kadar sepatutnya.

Ng pihak persatuan tidak pernah menerima sebarang rungutan atau laporan daripada lebih 2,400 ahli penternak di seluruh Semenanjung berhubung perkara itu, dan menegaskan bahawa setiap permasalahan boleh diajukan secara terus kepada agensi bertanggungjawab memandangkan hubungan antara persatuan dan kerajaan sangat baik.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular