Perniagaan

Focus Dynamics Pegang 12.19 Peratus Saham Brahim’s

121views

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Focus Dynamics Group Bhd mengambil alih 12.19 peratus kepentingan dalam Brahim’s Holdings Bhd, selaras dengan strateginya untuk meningkatkan aset dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Focus Dynamics dalam kenyataan hari ini berkata, pengambil alihan kepentingan dalam dapur pusat terbesar di Malaysia itu akan memperbaharui model perniagaan tradisional syarikat dengan menyuntik elemen teknologi digital dan konsep moden.

“Pengambilalihan ini menyediakan Focus Dynamics perkongsian kukuh dengan syarikat sudah lama bertapak dalam penyediaan perkhidmatan F&B berkualiti dan cekap.

“Ia digabungkan lagi dengan rancangan komprehensif kami untuk memperbaharui semula perkhidmatan F&B kepada persekitaran lebih digital dan moden,” katanya.

Brahims adalah peneraju perkhidmatan penyediaan makanan dalam penerbangan terkemuka dengan perniagaannya merangkumi pelbagai bidang termasuk perkhidmatan logistik, penyimpanan, katering dan restoran.

Dapur pusat Brahims yang turut diiktiraf sebagai pusat halal terbesar dunia menyediakan sehingga 60,000 juadah sehari.

Pengarah Eksekutif Focus Dynamics, Benson Tay Ben Seng berkata, dengan rancangan untuk mendigitalkan dapur, rangkaian e-dapur dan cawangan utamanya, pengambil alihan itu menjadi langkah penting untuk mewujudkan platform operasi kukuh bagi memenuhi rancangan pengembangan serta pertumbuhan syarikat.

“Dengan akses kerjasama untuk dapur pusat bersaiz besar, boleh dipercayai dan terbukti, rangkaian logistik lengkap, konsep moden dan dapat meningkatkan pengalaman pengguna ke arah penggunaan teknologi, ia menjadi nadi apa yang dilaksanakan kami.

“Platform ini membolehkan syarikat memacu rancangan kami untuk membangunkan rangkaian lengkap dengan menawarkan perkhidmatan dapur komersial kepada pelanggan korporat, rakan niaga sedia ada serta perkhidmatan dapur awan termasuk portfolio cawangan hiburan dan restoran kami,” katanya.

Ben Seng berkata, hubungan dengan Brahims membolehkan ia meneroka rangkaian perdagangan antarabangsa menerusi syarikat penerbangan dan penyediaan makanan dalam pesawat.

“Dengan memiliki akses kepada dapur pusat terbesar di Kuala Lumpur dan rangkaian pelanggan sedia ada yang kukuh, ia membolehkan kami mengubah beberapa konsep untuk menjadi operasi lebih berdaya maju lebih pantas berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Source link