info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Gangguan Bekalan Air : Bekalan Air Dijangka Pulih Seawal Tiga Petang Hari Ini

47views

KUALA LUMPUR, 11 Nov — Kawasan-kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan bekalan air sejak petang semalam dijangka mula menerima kembali bekalan air pada 3 petang ini secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang telah beroperasi semula pada 2.40 pagi tadi secara berperingkat setelah merekodkan bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut.

Katanya sehingga pukul 7 pagi tadi, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA.

“Ini bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat mengikut piawaian Kementerian Kesihatan.

“Air Selangor telah melakukan pengesahan kualiti air di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Air Selangor sedang menstabilkan sistem agihan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada pengguna dan akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

Bantuan bekalan air alternatif akan diteruskan bagi membantu pengguna yang terjejas termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 pusat khidmat setempat serta mengagihkan air minum lima liter.

Semalam, Air Selangor memaklumkan henti tugas LRA Rantau Panjang serta SSP 1, 2 dan 3 menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang.

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang berikutan pencemaran sumber air mentah.

Maklumat lanjut berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

— BERNAMA

Source Link