BeritaCOVID19

Gangguan Saraf Antara Kesan Sampingan AstraZeneca

THE HAGUE, 9 Sep — Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) menyenaraikan gangguan neurologi Sindrom Guillain-Barre (GBS) sebagai antara kesan sampingan vaksin COVID-19 AstraZeneca.

Gangguan menyebabkan kelumpuhan sementara itu dikesan jarang berlaku kepada penerima vaksin berkenaan, namun EMA menyatakan bahawa wujud kaitan kemungkinan yang munasabah berlakunya kesan sampingan itu.

Laporan yang kemas kini semalam mencatatkan bahawa sehingga 31 Julai sejumlah 833 kes GBS dilaporkan di seluruh dunia daripada 592 juta dos vaksin AstraZeneca ‘Vaxzevria’ yang dikeluarkan.

“Oleh itu, GBS harus ditambahkan pada maklumat produk sebagai kesan sampingan penggunaan Vaxzevria.

“Sekali lagi ditekankan, GBS adalah kesan sampingan yang ‘sangat jarang’, berlaku pada nisbah kurang satu dalam kalangan 10,000 orang,” kata agensi yang berpusat di Amsterdam itu.

Kesan samping itu membabitkan keradangan saraf yang boleh menyebabkan kelumpuhan sementara dan kesukaran bernafas.

Di Amerika Syarikat (AS), sindrom yang sangat jarang berlaku itu dianggarkan dialami sekitar 3,000 hingga 6,000 orang setiap tahun dan kebanyakannya terus pulih.

EMA mengesyorkan supaya amaran ditambahkan pada maklumat mengenai vaksin, yang meminta orang ramai ramai mendapatkan rawatan perubatan jika mereka mengalami kelemahan dan kelumpuhan ketara pada bahagian dada dan wajah.

Pengawal selia ubat Eropah pada Julai lalu menyenaraikan GBS sebagai kesan sampingan ‘sangat jarang’ berlaku ekoran suntikan vaksin Johnson & Johnson (J&J), yang menggunakan teknologi adenovirus sama seperti vaksin AstraZeneca.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS juga memberi amaran Julai lalu mengenai ‘peningkatan risiko’ sindrom neurologi dengan pengambilan dos J&J.

Namun, kedua-dua agensi berkenaan menegaskan manfaat pengambilan vaksin itu melebihi risiko penggunaannya.

– AFP

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button